Bauksit di Pahang: Elak episod 'koboi' - Utusan Malaysia

Bauksit di Pahang: Elak episod ‘koboi’

PENCEMARAN alam sekitar menjadi antara isu yang dikhuatiri kembali timbul daripada perlombongan bauksit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kemusnahan dan kerosakan alam sekitar ekoran perlombongan bauksit di negeri ini adalah disebabkan kerakusan pengusahanya yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Mereka menjalankan kegiatan melombong ibarat ‘koboi’ rakus mengorek tanpa langsung mengambil kira soal prosedur operasi standard (SOP) tentang alam sekitar dan aspek keselamatan orang awam.

Dahulu, kira-kira 30 ke 40 biji lori membawa bauksit akan berada di atas jalan raya dalam tempoh yang sama, masing-masing mengejar ‘trip’ menghantar bahan mineral berkenaan ke pelabuhan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pasukan Petugas Mengenai Perlombongan Lestari, Akademi Sains Malaysia, Prof. Datuk Azizan Abu Samah berkata, kegiatan perlombongan bauksit di negeri ini sebelum ini mendatangkan kemusnahan.

Namun katanya, setelah kira-kira empat tahun dihentikan, ia boleh dijalankan kembali berdasarkan SOP ketat yang telah diwujudkan sejak 2019.

“Kemusnahan dan kerosakan lalu tidak boleh dibiarkan berlaku. Mereka dulu langsung tidak fikir soal alam sekitar, keselamatan dan kehidupan rakyat.

“Korek ikut suka mereka sahaja, selepas dapat apa mereka inginkan tinggal begitu sahaja, kemusnahannya terlalu besar,” katanya.

Selepas dihentikan sejak 2016 akibat ‘serangan debu merah’ dan bunyi bising aktiviti perlombongan bauksit, namun di sebaliknya ada yang berharap aktiviti ekonomi itu dibuka semula.

Namun, ada juga yang mengharapkan peristiwa lama tidak berulang agar aktiviti ekonomi itu dijalankan dengan baik bak pepatah ‘rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak’.

Seorang penduduk Felda Bukit Goh, Jefri Salim yang amat mengharapkan kerajaan membuka semula aktiviti perlombongan bauksit secepat mungkin.

Azizan berkata, SOP yang ketat telah dirangka berdasarkan kejadian lalu bagi menjadikan industri perlombongan bauksit lebih mampan.

“Pelaksanaan penambahbaikan ini memerlukan komitmen semua pihak yang terlibat terutamanya agensi di peringkat Pusat dan negeri di samping peranan pihak pengusaha dalam menjalankan aktiviti perlombongan secara lebih bertanggungjawab.

“Apa yang penting juga penguatkuasaan, jika tiada penguatkuasaan, tidak guna ada SOP pun, episod ‘koboi’ pasti akan berulang. Aspek penguatkuasaan perlu ketat dan menyeluruh,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN