Bantu rakyat tiada duit, beli wakil rakyat ada duit? - Utusan Malaysia

Bantu rakyat tiada duit, beli wakil rakyat ada duit?

SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kerajaan tiada duit bantu rakyat. Tapi beli wakil rakyat ada duit pula?.”

Itu kenyataan sinis Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal susulan budaya lompat parti dan ‘beli’ ahli parlimen yang belum berakhir.

Sindiran itu menyokong kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menganggap ahli parlimen dipilih rakyat terlalu mudah ‘dibeli’ sehingga membelakangi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Yang kita harap sekarang adalah kerajaan mampu mentadbir negara dengan baik tetapi, sebelum darurat, sudah beli wakil rakyat dan semasa darurat pun beli juga.

“Saya kesal dengan amalan ini. Ini soal maruah dan martabat kita sebagai pemimpin dan wakil suara rakyat. Apa pasal dia melompat parti?,” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Adegan lompat parti kali terakhir berlaku di kemuncak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tahun lalu dan ia berulang kembali dengan sembilan wakil rakyat pembangkang berbuat demikian.

Langkah pertama diambil oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Chong Shiau Yoon daripada PKR manakala tiga ADUN Amanah Johor, Khairuddin A. Rahim (Senggarang); Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muahmad Said Jonit (Mahkota) berpaling dan menyertai sekutunya, PKR baru-baru ini.

Di Sabah, ADUN Sebatik, Hassan A. Gani turut menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menaungi kerajaan hari ini.

Ditanya tentang hubungan antara ahli parlimen dan ADUN lain dalam Warisan ekoran keputusan Hassan, kata Shafie, keadaan masih baik dan semua wakil rakyatnya menyokong dan memberi taat setia kepadanya.

“Pun begitu, saya tidak boleh memberi jaminan 100 peratus (ahli menyokong Warisan) cuma, Insya-Allah, ia akan terus dipertahankan. Saya sedar akan ada pelbagai tekanan dari luar dan dalam. Cuma kita minta bersabar ketika berdepan dengan cabaran ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda (AMK) Sarawak, Saifunnizam Sam, menegaskan semua wakil rakyat PKR dan Pakatan Harapan (PH) yang telah mendapat mandat pada PRU-14 lalu terus istiqamah dengan prinsip perjuangan asal parti selain amanah kepada pengujndi tanpa tunduk kepada sogokan Perikatan Nasional (PN).

“AMK Sarawak yakin pengunduran Larry Sng selaku pengerusi negeri tidak akan menjejaskan kepimpinan parti peringkat negeri memandangkan ketokohan ramai ahli Majlis Pimpinan Negeri lain sekiranya diberi peluang dan sokongan sewajarnya untuk memimpin parti di Sarawak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN