PETALING JAYA: Tidak serik. Walaupun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pernah digempur Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa tahun lalu kerana melindungi kegiatan pengusaha lori yang melanggar pelbagai kesalahan terutama membawa muatan berlebihan namun aktiviti itu dikesan terus berlaku.
Kali ini, seramai 44 individu terdiri daripada 32 pegawai JPJ ditahan SPRM menerusi Op Sukat yang dilakukan secara besar-besaran di lima negeri semalam.
Turut ditahan dalam operasi di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu membabitkan seorang bekas anggota polis trafik manakala bakinya membabitkan orang awam.
Semua yang ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan pelbagai kesalahan tetapi dilepaskan selepas diberi `ufti’ secara bulanan.
Menurut sumber, kegiatan melibatkan pegawai JPJ pelbagai gred termasuk seorang pegawai kanan gred 48 itu dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan.
Kata sumber, hasil kegiatan dalam tempoh dua tahun iaitu 2019 dan 2020 dianggarkan membabitkan nilai rasuah diterima kumpulan itu mencecah RM1.64 juta.
Siasatan SPRM mendapati ada juga segelintir penguasaha lori akan mengunakan pelekat khas bagi memudahkan anggota dan pegawai JPJ terlibat mengenal pasti kenderaan berat yang tidak perlu diperiksa.
Malah, ada juga segelintir pegawai JPJ tersebut mengambil peranan menjadi ‘tali barut’ kepada tonto-tonto dan pengusaha lori mendedahkanoperasi dijalankan anggota JPJ lain.
“Daripada jumlah yang ditahan, sebanyak 12 individu ditahan di Perak, diikuti masing-masing 11 individu di Kedah dan Melaka serta Pulau Pinang (sembilan individu) manakala di Perlis (seorang).
“Cara bayaran rasuah adalah wang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi pegawai JPJ yang ditahan atau proksi secara bulanan.
“Beberapa orang awam yang ditahan berperanan sebagai proaksi kepada pegawai JPJ terbabit,” kata sumber itu di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkaitan Op Sukat tersebut.
Menurut beliau, operasi tersebut adalah hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya Ketua Pengarah dan Bahagian Integriti dalam usaha meningkatkan integriti jabatan tersebut.
Katanya, ketika ini siasatan masih lagi berjalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa siri tangkapan.
“Objektif siasatan tertumpu kepada kesalahan rasuah di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin,” ujar beliau. – UTUSAN










