Dalam dunia komunikasi moden, peranan yang dimainkan oleh media sosial tidak boleh disangkal lagi. Kita tidak boleh lari daripada menggunakannya untuk perhubungan harian sama ada tujuan sosial dalam erti kata sebenarnya atau rasmi seperti pekerjaan.
Menurut Blank & Reisdorf, 2012, media sosial adalah terma yang digunakan untuk pelbagai platform berlandaskan laman-laman sesawang yang membolehkan pengguna berhubung dan berkongsi maklumat serta profil secara terbuka. Pelbagai cara boleh digunakan termasuk komputer, telefon pintar dan tablet.
Apabila digunakan secara terbuka, bermakna ia bukanlah rahsia dan boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja yang memiliki akses kepada maklumat tersebut. Ia juga berbentuk public atau dalam erti kata lain, satu penyataan awam. Semua pihak boleh menerima dan boleh untuk menolaknya.
Usaha mendidik untuk menerap nilai-nilai murni yang berbudi menjadi suatu perkara penting kerana ia berkaitan masyarakat dan tindak tanduk kita hendaklah menyumbang kepada kebaikan dan mensejahterakan mereka. Dalam erti kata lain, bagaimana kita memberi contoh yang baik dan ia menjadi ikutan kepada orang lain.
Pembentukan masyarakat berbudi dan berbudaya tinggi juga akan mudah dipupuk dan dibentuk jika diasuh dari peringkat awal lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Contoh paling mudah, Jepun. Di Jepun, walaupun kecanggihan teknologi sudah di peringkat tinggi namun sejak peringkat awal, anak-anak didedahkan dengan amalan baik yang boleh dibajai, disemai dan pada masa hadapan menjadi hasil sempurna.
Kecanggihan teknologi sendiri tidak menenggelamkan akar-akar budi dalam pergaulan, pekerjaan, menuntut ilmu dan perilaku seharian. Teknologi adalah pendamping mereka dalam kitaran 24 jam perbuatan dan perhubungan sosial.
Oleh itu, berbudi bila berkomunikasi adalah suatu kemestian yang perlu ada pada setiap warganet bagi memastikan setiap perkongsian berhemat dan membawa kesan positif kepada masyarakat secara umumnya.
Namun begitu, terdapat juga yang tidak beradab dan berbudi apabila berkomunikasi secara maya. Ia membawa kesan negatif dan keburukan kepada individu dan masyarakat secara umumnya. Contoh yang boleh diambil ialah ketika kita sedang berhadapan pandemik Covid-19.
WHO
Tatkala mengharungi cabaran dan dugaan dalam memerangi pandemik, kita juga diuji serangan infodemik yang ternyata sukar untuk dibendung dan diperangi kerana datang daripada manusia sendiri. Keinginan manusia berkongsi sesuatu untuk menjadi relevan dan menagih nama atas usaha mereka sama ada ia sesuatu yang sahih atau tidak.
Terma infodemik yang mula digunakan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus membawa maksud maklumat yang dikongsi dengan banyak tanpa diketahui kesahihannya menyukarkan masyarakat untuk mengenal pasti sumber tepat dan sahih.
Oleh itu, kita perlulah berbudi dalam berkomunikasi kerana ia boleh membinasakan masyarakat dengan kebanjiran maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan. Berbudilah kepada diri sendiri dengan sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab dalam berkongsi setiap maklumat. Bukan sahaja kita bersama memerangi pandemik tetapi kita juga menangani infodemik.
COPY AND PASTE
Kehadiran media sosial perlu digunakan sebaik mungkin. Perkara-perkara provokasi, sentimen agama dan bangsa perlu dielakkan. Sebelum ia dikongsi, pastikan kesahihannya. Jika tidak dibendung dari awal, ia boleh menular dan berakar menjadi barah yang tidak boleh lagi diubat.
Walaupun hanya copy and paste, forward, ia juga boleh mendatangkan kebimbangan kepada penerima atau pelayar di media sosial. Penulisan-penulisan provokasi dan tidak sahih akan mencetuskan pelbagai tanggapan. Walaupun hanya berkongsi ciapan-ciapan dan hantaran melalui media sosial, ia juga menjadi tanggungjawab sendiri. Apa yang dilakukan perlu bertanggungjawab dengan setiap tindak-tanduk.
Bukan itu sahaja, sewajarnya sikap saling menghormati dan memahami budaya sesama kaum perlu dipertahankan demi kesinambungan perpaduan negara. Lebih-lebih lagi di kala kita sama-sama memerangi permasalahan pandemik ini. Jika kita mempunyai adab dan berbudi dalam bersosial melalui alam maya ini, ia menggambarkan persefahaman malah meningkatkan lagi kemesraan sesama kaum.
Bagi memastikan setiap maklumat yang tersebar adalah sahih dan benar, kita perlu memuji usaha kerajaan dalam memerangi berita tidak tepat. Kementerian Komunikasi dan Multimedia menubuhkan pasukan respons pantas (PRP) untuk menangkis segala berita palsu yang tersebar di dunia maya melalui saluran-saluran media sosial.
Penyebaran maklumat palsu yang disampaikan oleh mereka yang tidak beradab akan memberikan impak besar kepada masyarakat dan negara. Jika maklumat yang diterima tidak sahih dan ditelan bulat-bulat, sudah pasti berlaku ketidaktentuan dalam struktur masyarakat dari segi pergaulan seharian kerana wujudnya sifat persepsi tidak baik.
Generasi kita terdahulu mewariskan kepada kita sebuah negara yang makmur, aman dan harmoni. Jadi, kitalah yang harus menjaga dan memeliharanya melalui teknologi tersedia dan bertanggungjawab untuk menjadi teknologi yang ada sebagai alat atau peranti bagi menjaga kemakmuran.
Ia adalah tanggungjawab kita semua, tidak kira bangsa dan agama. Ia perlu dikekalkan untuk masa hadapan anak dan cucu kita. Mereka adalah pewaris kesinambungan kemakmuran negara kita.
Pastikan sahih, baru kongsi.
DR. Harmi Ta’azim Mohamad ialah Pengarah Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










