Untung bersih TM RM1.02 bilion, naik 60.6 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih TM RM1.02 bilion, naik 60.6 peratus

TM terpaksa mematikan bekalan elektrik dan peralatan rangkaian di beberapa kawasan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk di situ serta mengurangkan sebarang potensi risiko. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) merekodkan prestasi perniagaan bagi tahun kewangan 2020 yang kukuh dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan melonjak 60.6 peratus kepada RM1.02 bilion daripada RM632.7 juta tahun sebelumnya.

Prestasi memberangsangkan itu dicapai walaupun berhadapan persekitaran mencabar akibat penularan wabak Covid-19 menerusi inisiatif pengoptimuman kos.

Pada masa sama, Perolehan Sebelum Cukai dan Faedah (EBIT) TM juga naik 2.3 peratus kepada RM1.6 bilion daripada RM1.57 bilion pada tahun kewangan 2019 didorong oleh kos operasi lebih rendah.

Walau bagaimanapun, pendapatan Kumpulan TM merekodkan penurunan sebanyak 5.2 peratus kepada RM10.84 bilion sepanjang 2020 daripada RM11.43 bilion ekoran cabaran pasaran dan pandemik Covid-19 yang melanda.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar memberitahu, syarikat telah melabur 13.7 peratus daripada hasil dalam perbelanjaan modal (capex) berjumlah RM1.49 bilion tahun lalu apabila TM terus mengoptimum dan memodenkan rangkaiannya.

Menurut Imri, daripada jumlah yang dibelanjakan itu, 53 peratus adalah untuk akses rangkaian, rangkaian teras (22 peratus) dan sistem-sistem sokongan (25 peratus).

“Ini bagi memastikan rangkaian TM mampu untuk menguruskan secara efektif trafik rangkaian yang menyaksikan peningkatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“TM juga komited terhadap pertumbuhan yang mampan dengan peningkatan tumpuan terhadap persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) berasaskan rekod yang mantap sebagai satu daripada 75 syarikat senaraian Bursa Malaysia dalam FTSE4 Good Indeks Bursa Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar prestasi TM secara maya, semalam.

Jelas Imri, unifi terus mencatatkan pertumbuhan pelanggan jalur lebar dan mudah alih dengan kadar langganan konvergens isi rumah TM paling tinggi pada 60 peratus selain dua lagi produknya iaitu TM One danTM Wholesale.

Mengenai capex dalam teknologi 5G, Imri menjelaskan, perkara itu tertakluk kepada kerajaan kerana ia membabitkan SPV yang dilantik.

“Setakat ini dijangkakan lebih banyak penelitian mengenai perkara ini akan diumumkan secara berperingkat dalam beberapa minggu akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya