GEORGETOWN: Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Bapa Kemerdekaan pasti sangat kecewa dengan keadaan negara masa ini yang berdepan masalah perpecahan kaum khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, jika Tunku Abdul Rahman masih hidup, beliau pasti sedih melihat wujudnya perpecahan masyarakat pelbagai kaum yang menjadi asas negara ini mencapai kemerdekaan.
“Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lahir pada 8 Februari 1903. Almarhum adalah simbol perpaduan, bertolak ansur, sentiasa bersifat baik dan adil kepada semua.
“Sebagai Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Almarhum sentiasa disayangi dan dihormati oleh rakyat Malaysia berbilang kaum,” katanya di sini semalam.
Tunku Abdul Rahman dilahirkan 8 Februari 1903 di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar dan meninggal dunia pada 6 Disember 1990 pada usia 87 tahun.
Almarhum adalah antara individu penting yang mencorakkan negara ini selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Dalam pada itu, Mohd. Yussof berkata, 65 tahun yang lalu iaitu pada 8 Februari 1956, sejarah dicatat apabila berlakunya Istiadat Menandatangani Perjanjian di Lancaster House, London.
Jelasnya, istiadat itu berlangsung di antara wakil Raja-raja Melayu dan wakil-wakil Kerajaan Perikatan Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai Tunku Abdul Rahman dengan wakil Kerajaan British, Allan Lynox Boyd.
“Pada waktu ini, wakil-wakil berkenaan termasuk Tunku menetapkan 31 Ogos 1957 adalah tarikh Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan,” katanya.
Tambahnya, dengan segala jerih perih dilalui Almarhum, kini tiba masanya kita menjaga keharmonian negara ini agar tidak terjerumus ke kancah konflik yang merugikan. -UTUSAN










