KETIKA kemuncak persidangan perwakilan bahagian UMNO seluruh negara bulan lalu, majoriti akar umbi menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini menunjangi Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bahkan sebelum itu, UMNO mempertimbang menarik diri daripada menyokong PN namun akhirnya memutuskan sebaliknya tetapi secara bersyarat dengan menambah baik kerjasama berdasarkan nilai penghormatan dan konsensus politik.
Pun begitu, perjalanan politik UMNO bersama Bersatu tidak selamanya indah rentetan wujud tekanan pelbagai pihak untuk sekali lagi menolak kerjasama.
Bersatu mewujudkan kerjasama dengan Pas bagi membentuk PN, sedangkan Pas memeterai hubungan dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN). Pendirian Pas meletakkan parti itu dalam dilema kerana kedua-duanya berkongsi matlamat menyatukan orang Melayu dan mempertahan Islam.
‘Sifat’ tidak jelas hubungan dan pergolakan UMNO-Bersatu yang belum reda akibat perebutan dan pertembungan kerusi pada PRU-15, mempengaruhi kadar boleh menang mereka khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Bukan apa, selagi masalah itu tidak diselesaikan secara diplomatik, siapapun akan menduga Pakatan Harapan (PH) mungkin berjaya menguasai sepenuhnya Wilayah Persekutuan.
Kerusi Segambut, Seputeh, Cheras dan Bukit Bintang yang menjadi milik PH menguatkan asas kemenangan mereka pada pilihan raya kerana demografi di kawasan itu memberi kelebihan kepada pembangkang.
Bagaimana pula di kerusi lain seperti Putrajaya, Titiwangsa dan Bandar Tun Razak? Apakah jaminan PN boleh mengekalkan kemenangan di tengah-tengah krisis antara mereka?
Silap hari bulan pembangkang terutama DAP berkuasa kerana keculasan PN merangka strategi. Itu pun hanya boleh berlaku jika keadaan politik PN sudah benar-benar parah dan tiada lagi kata sepakat untuk membahagi kerusi secara adil.
Penganalisis politik bebas, Arif Anwar Lokmanol Hakim berkata, jika UMNO dan PN bertembung dan bertanding di Wangsa Maju (kini disandang Dr. Tan Yee Kew) dan Batu, peluang menang adalah sukar kecuali mendapat sekurang-kurangnya 65 peratus undi Melayu atau 20 peratus undi orang Cina.
“Sekalipun undi Pas berperanan, tetapi UMNO dan Bersatu bertembung, undi Pas berpecah dan undi Pas jika bertanding terlalu sedikit. Kerusi di seluruh Lembah Klang memaksa sama ada UMNO, Pas dan Bersatu perlu bergabung. Jika tidak, peluang untuk merampas Selangor dan menang sejumlah kerusi di Wilayah Persekutuan tiada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jika diteliti, PN sudah pasti menumpukan kerusi di Titiwangsa yang disandang Datuk Seri Rina Harun dan Bandar Tun Razak (Datuk Kamarudin Jaffar). Namun harus diingat, kemenangan Titiwangsa pada PRU-14 lalu hasil kerjasama pembangkang sebelum Bersatu membawa haluan sendiri.
Bagi UMNO-BN, hanya Putrajaya dianggap milik mereka menyorot keputusan pada PRU-14. Untuk itu, walau seteruk mana pun ketegangan hubungan antara UMNO-PN dalam menghadapi PRU-15, kedua-duanya harus bijak mengatur cara sebelum kerusi yang dipegang hilang. – UTUSAN ONLINE











