Suami tumbuk mekanik didakwa tidur dengan isteri - Utusan Malaysia

Suami tumbuk mekanik didakwa tidur dengan isteri

SEORANG nelayan (tiga dari kiri) dan seorang lelaki (baju merah) yang ditumbuk selepas didakwa bersama isteri nelayan tersebut dibawa keluar daripada Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini selepas mendapat perintah reman.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Bengang melihat isterinya dipercayai curang dengan lelaki lain, seorang nelayan bertindak menumbuk individu terbabit yang berdua-duaan bersama wanita berkenaan di sebuah rumah di Kampung Behor Gonchar, Jalan Dato Ali, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, ketika pulang ke rumah kira-kira pukul 11 malam, nelayan berusia 26 tahun itu mendapati terdapat sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 di hadapan kediaman mereka.

Katanya, sebaik sahaja memasuki rumah, nelayan tersebut mendapati seorang lelaki dalam keadaan tidak berbaju bersama isterinya di dalam bilik tidur mereka.

“Dia (nelayan) yang berang kemudian menumbuk lelaki berusia 23 tahun itu dua kali di bahagian muka, leher, siku sebelah kanan dan di bahagian belakang pinggang.

“Suami wanita itu juga bertindak merosakkan motosikal lelaki terbabit yang bekerja sebagai mekanik,” katanya di sini hari ini.

Tambah Wari, pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian itu kemudian menahan kedua-dua individu terbabit untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu tidak mempunyai masalah rumah tangga serius sebelum ini malah tiada sebarang permohonan fasakh, nusyuz mahupun perceraian di mahkamah syariah.

“Namun, nelayan tersebut dipercayai sudah lama mengetahui isterinya mempunyai hubungan sulit dengan mekanik itu dan sering membawa lelaki berkenaan ke dalam rumah untuk melakukan hubungan intim ketika ketiadaannya di rumah,” ujarnya.

Katanya lagi, suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, mekanik tersebut turut direman bagi tempoh yang sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 dan Seksyen 498 Kanun Keseksaan, iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya