Sistem bertindan atasi masalah kepadatan kubur - Utusan Malaysia

Sistem bertindan atasi masalah kepadatan kubur

SISTEM kubur bertindan melibatkan jenazah dari sebuah keluarga yang sama dikebumikan dalam satu liang lahad membantu menyelesaikan isu kepadatan Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang. -UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Merupakan antara tanah perkuburan Islam tertua di negeri ini, Tanah Perkuburuan Islam Jalan Perak turut berdepan dengan isu ruang yang terhad dan padat.

Namun, situasi itu ketika ini dapat diatasi menerusi sistem kubur bertindan melibatkan jenazah daripada keluarga sama yang dikebumikan di liang lahad yang sama.

Menurut Penyelia Kubur Tanah Perkuburuan Islam Jalan Perak, Haszuwan Harun, 38, ketika ini terdapat liang lahad di tanah kubur di situ yang menempatkan sehingga 40 jenazah daripada keluarga sama dari beberapa generasi.

Bagaimanapun, jelasnya, sistem bertindan itu hanya dibenarkan bagi jenazah keluarga sama yang meninggal lebih lima tahun antara satu sama lain.

“Dengan sistem ini, kita dapat mengatasi masalah ruang yang terhad serta padat dan insya-Allah, Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak ini masih boleh menerima jenazah anak kariah di sini untuk tempoh yang lebih lama.

“Malah, kita juga ada menerima jenazah warga asing yang meminta untuk dikebumikan di sini kerana warisnya tidak mampu menghantar jenazah pulang ke negara asal kerana kos yang tinggi,” katanya semalam.

Menurut Haszuwan, ketika ini, tanah perkuburan Islam seluas kira-kira tujuh hektar itu menerima sehingga 50 jenazah sebulan untuk dikebumikan.

Ditanya mengenai isu terdapat waris yang mendakwa tanah kubur keluarga mereka dikebumikan dengan jenazah orang lain, Haszuwan megakui perkara tersebut sememangnya berlaku sebelum ini.

Namun ujarnya, kes sebegitu kebiasaannya melibatkan ahli keluarga sendiri yang mungkin wujud perselisihan faham atau saudara-mara jauh yang dipertikaikan waris jenazah asal.

Malah tambah beliau, terdapat ahli keluarga yang sudah berpuluh-puluh tahun tidak menziarahi kubur waris mereka terkejut apabila mendapati ada jenazah keluarga lain ditempatkan di kawasan sama.

“Kes sebegini juga pernah sehingga melibatkan campur tangan polis, namun akhirnya dapat diselesaikan dengan cara baik kerana ini melibatkan perselisihan faham sesama ahli keluarga,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×