GEORGETOWN: Umat Islam semakin bertambah, ruang kubur semakin terhad.
Tanah perkuburan Islam sedia ada pula sudah semakin padat menyebabkan jarak antara kubur terlalu rapat.
Di lokasi yang disifatkan segi tiga emas dengan tanah bernilai tinggi seperti di Timur Laut, membuka kawasan tanah perkuburan Islam baharu disifatkan sebagai mustahil.
Apatah lagi dengan perkembangan pesat pembangunan komersial seperti apartmen dan bangunan perniagaan yang lebih menguntungkan, tanah baharu untuk kubur orang Islam barangkali menjadi pilihan terakhir.
Lebih merumitkan keadaan, ada penduduk yang seolah-olah menjadikan tanah kubur sebagai ‘hak milik kekal’ dengan menempahnya untuk keluarga atau waris mereka.
Situasi itu berlarutan sehingga berpuluh-puluh tahun dan diwarisi dari satu generasi ke generasi sehingga dilihat menafikan hak umat Islam lain untuk dikebumikan jenazah ahli keluarga mereka di tanah perkuburan tersebut.
Mengulas mengenai isu itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd. Sophian Md Zain berkata, tanah perkuburan umat Islam tidak akan pernah mencukupi meskipun berpuluh-puluh hektar lagi kawasan baharu dibuka sekiranya isu tempahan keturunan tersebut tidak diatasi.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa Islam tempatan khususnya Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengambil langkah berani dengan tidak membenarkan mana-mana pihak menempah kubur untuk keturunan mereka.
Katanya, sekiranya perkara itu boleh dilakukan, tanah kubur sedia ada yang padat dan sesak ketika ini boleh dibangunkan semula dengan lebih banyak jenazah dapat dikebumikan tanpa sebarang masalah.
“Tanah kubur ini adalah tanah wakaf, jadi tidak ada mana-mana pihak berhak menetapkan tanah kubur tertentu khusus untuk keturunan atau ahli keluarga mereka sahaja.
“Ini juga bagi mengelak rasa kurang senang atau pertikaian dalam kalangan umat Islam sendiri berhubung siapa yang harus dikebumikan di tanah kubur tertentu seperti yang pernah terjadi sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Sophian berkata, sekiranya keadaan benar-benar mendesak sehingga memerlukan tapak kubur baharu, MAINPP juga boleh menggazetkan tanah wakaf yang masih ada bagi tujuan tersebut.
Namun kata beliau, apa yang berlaku ketika ini adalah terdapat tanah wakaf itu ditukar status kepada kegunaan am bagi tujuan pembangunan komersial.
“Perkara ini adalah sesuatu yang menyedihkan dan mengecewakan kerana tanah wakaf itu sepatutnya dibangunkan untuk kepentingan dan manfaat umat Islam.
“Malangnya, pembangunan am di atas tanah wakaf yang terlepas itu dibangunkan dengan projek komersial yang keuntungan dan kelebihannya banyak dinikmati kaum lain, bukannya umat Islam,” katanya.










