Mufti Johor ‘tegur’ pihak pertikai kebenaran solat Jumaat - Utusan Malaysia

Mufti Johor ‘tegur’ pihak pertikai kebenaran solat Jumaat

YAHYA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Mungkin sebahagian jangkitan dan kematian yang sepatutnya boleh dielak berlaku akibat kedegilan kita. Jika betul ada jangkitan yang berlaku ke atas orang lain akibat kelalaian dan kedegilan kita, bersediakah kita menjawabnya di hadapan rabbul jalil di padang mahsyar nanti.

Demikian dikongsikan oleh Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad yang meminta umat Islam di negeri ini mematuhi syarat dan kebenaran pelaksanaan solat Jumaat ditetapkan pihak berkuasa yang dikeluarkan semasa situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, syarat itu tidak wajar dipersoal kerana pelbagai perkara telah diambil kira termasuk aspek keselamatan dan kesihatan jemaah yang diputuskan hasil muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Johor sebelum diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Bersimpatilah kepada mereka di barisan hadapan dalam menangani penularan wabak ini, lebih-lebih lagi mereka yang bertungkus-lumus menyelamatkan pesakit-pesakit Covid-19 ini. Dalam al-Quran dan hadis juga sudah ditegaskan tanggungjawab semua pihak dalam menghindarkan penularan wabak yang memudaratkan seperti ini.

“Semua ketetapan membabitkan hukum-hakam menangani Covid-19 seperti menghadkan bilangan jemaah solat Jumaat sudah diputuskan oleh mufti-mufti dan alim ulama yang berautoriti di Malaysia.

Akur dan patuhlah tanpa perlu mempersoalkannya lagi. Islam itu agama yang indah. Tidak pernah memberatkan atau membebankan umatnya hingga mengakibatkan kepada mudarat yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yahya mengulas dakwaan segelintir masyarakat yang tidak berpuas hati dengan syarat kebenaran solat Jumaat menghadkan jumlah jemaah ketika ini termasuk isu tular beberapa hari lalu memaparkan segelintir masyarakat bertindak menunaikan solat Jumaat di luar pekarangan masjid selepas tidak dibenarkan memasukinya kerana melebihi jumlah dibenarkan.

Pada 8 Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi dalam sidang akhbar mengumumkan kerajaan membenarkan solat Jumaat dan solat fardu dilaksanakan namun dihad kepada seramai 40 jemaah, tidak termasuk kariah masjid dan surau.

Sementara itu, Yahya berkata, umat Islam perlu mengutamakan keselamatan serta kesihatan dan apabila mereka menghadapi keuzuran diberi keringanan untuk mendirikan solat dalam keadaan duduk jika tidak berupaya berdiri selain berbaring jika tidak lagi boleh duduk. 

Katanya, begitu juga keadaan seterusnya sehingga ke tahap pergerakan kelopak mata dan niat dalam hati, namun solat tetap wajib dilaksanakan. 

Justeru, kita sekarang berada dalam wabak yang berbahaya. Berapa ramai sudah kesakitan dan terlantar di hospital kerana dijangkitinya. Berapa ramai yang meninggal dunia akibatnya. Bila wabak menular, semua orang wajib berperanan membendungnya. 

“Antaranya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Begitu juga solat Jumaat di masjid yang perlu dihadkan bilangan jemaahnya. Bagi mereka yang tidak terpilih berjemaah di masjid, hendaklah menunaikan solat zuhur di rumah. Tidak wajib lagi baginya ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.