PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan terdapat perbincangan antara pihaknya dengan Perak FC berkaitan status Perak II tetapi belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, namun beliau enggan mengulas lanjut kerana masih dalam tempoh perbincangan dan belum ada sebarang kata putus mengenai status penyertaan Perak II yang akan bersaing dalam Liga Perdana 2021.
“Ada perbincangan dengan pengurusan Perak FC, semalam (kelmarin) dan masih lagi dalam proses rundingan. Jadi saya tak boleh komen lanjut lagi,” katanya baru-baru ini.
Spekulasi status Perak FC II yang sebelum ini dikenali sebagai PKNP FC beraksi di Liga Perdana musim ini masih belum ada jawapan meskipun Liga Malaysia (Liga M) hanya tinggal dua minggu lagi untuk membuka tirai iaitu 5 Mac ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, pihak pengurusan Perak FC akan membuat keputusan dalam masa terdekat dan meminta peminat skuad Bos Gaurus bersabar.
Difahamkan, pembubaran mungkin terpaksa dibuat ekoran kemelut kewangan dan kedudukan Perak FC sendiri yang belum kukuh.
Selain didakwa bakal dibubarkan, terdapat juga khabar angin bahawa pasukan ‘adik’ atau ‘reserve team’ kepada Perak FC itu akan turun pangkat bersaing dalam liga berstatus amatur, Liga M3.
Sekiranya dakwaan pembubaran Perak II terjadi, ia bakal menjadi satu lagi kerugian buat bola sepak tempatan selain akan menyaksikan saingan Liga Perdana hanya tinggal 10 pasukan.
Dalam masa sama, akan berlaku peningkatan lambakan pemain yang hilang mata pencarian seperti apa yang terjadi selepas Felda United FC dibubarkan tahun lalu dan UKM FC gagal mendapat lesen kebangsaan untuk kekal bersaing di Liga Perdana.










