Kuarantin hanya 3 hari di bawah kuasa Akta 342 - Utusan Malaysia

Kuarantin hanya 3 hari di bawah kuasa Akta 342

ADNAN SEMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan di bawah seksyen 29 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) diberi kuasa untuk mengecualikan mana-mana individu atau golongan daripada dikuatkuasakan sebarang peruntukan atau peraturan di bawah akta tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengamal Undang-Undang, Datuk Adnan Seman berkata, kuasa itu dilaksanakan melalui perintah yang disiarkan dalam warta di bawah Akta berkenaan.

Menurut beliau, di bawah Seksyen 29 (2) akta yang sama pula memberikan kuasa kepada menteri untuk membuat perintah di bawah subseksyen 1 untuk mengenakan apa-apa syarat yang difikirkan patut.

“Berdasarkan kuasa Menteri di bawah seksyen 29 inilah menteri yang kembali dari lawatan rasmi di luar negara diberi pengecualian dengan hanya perlu menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian selama tiga hari sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai berbanding tempoh kuarantin 10 hari yang ditetapkan sebelum ini bagi mereka yang masuk dari luar negara,” katanya semalam.

Menurut beliau, perintah yang dibuat pada 2 Februari lalu hanya berkuat kuasa pada hari ini (9 Februari) hingga 1 Ogos ini dan dinamakan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021.

Beliau menjelaskan, ia hanya terpakai kepada Jemaah Menteri yang kembali dari lawatan rasmi luar negara.

Dalam pada itu, berhubung cadangan pelaksanaan skim laluan hijau timbal balik (RGL) atau ‘travel bubble’ di antara Malaysia dan Indonesia yang dipersetujui ketika lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke republik itu, Adnan berkata, pengecualian di bawah seksyen 29 Akta 342 itu wajar diberikan.

Katanya, ia bagi membolehkan travel bubble ini diperluaskan kepada negara-negara selain Indonesia terutamanya negara-negara jiran dan Asia Pasifik serta boleh terpakai kepada pelbagai sektor terutamanya pelaburan dan perniagaan antarabangsa dengan penetapan prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti kuarantin 10 hari dan sebagainya.

Beliau menjelaskan, sudah sampai masanya ‘travel bubble’ itu diperluaskan kerana pandemik Covid-19 dijangka berlanjutan lebih lama, malah ada yang menjangkakan ia hanya benar-benar diatasi beberapa tahun lagi.

“Kita perlu belajar hidup di dalam suasana pandemik dan mematuhi semua SOP dan panduan yang ditetapkan. Hidup mesti diteruskan.

“Ekonomi negara dan kehidupan rakyat perlu segera dipulihkan dan diberi perhatian penuh kerana kadar pengangguran terus meningkat di samping semakin banyak perusahaan dan syarikat-syarikat perniagaan yang terpaksa menutup operasi mereka sekiranya halangan untuk berniaga diteruskan untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.

Pada masa sama, katanya, semua pihak perlu berganding bahu membantu kerajaan dalam melandaikan keluk Covid-19 selain memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

Katanya, syarikat-syarikat besar boleh bersama-sama agensi kerajaan bagi menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat bawahan terutamanya mereka yang hilang sumber pendapatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya