KUALA LUMPUR: Modus operandi bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad untuk mendapatkan rasuah adalah dengan cara berkirim salam.
Sembilan kali Mohd. Isa berkirim salam melalui bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md. Arip kepada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB), Ikhwan Zaidel, beliau memperoleh wang tunai berjumlah RM3.09 juta.
Hari ini, ‘salam’ itu telah mengakibatkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dihukum penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapati beliau bersalah atas sembilan tuduhan menerima rasuah, tujuh tahun lalu.
Gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara tertuduh boleh ditambah 18 tahun.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan yang dikemukakan Mohd. Isa adalah satu perkara yang difikirkan kemudian, tidak konsisten dan hanyalah satu penafian tanpa sokongan berasas atau boleh dipercayai.
“Penglibatan tertuduh dalam permintaan suapan dilakukan sejurus selepas kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB). Permintaan kemudiannya diaktifkan dengan kiriman ‘salam’ tertuduh kepada SP16 (Ikhwan) melalui SP21 (Muhammad Zahid). Dalam setiap sembilan situasi, tertuduh memberi isyarat kepada SP21 untuk menyampai ‘salam’ tertuduh kepada SP16.
“Dalam setiap sembilan situasi juga SP21 menyerahkan wang tersebut kepada tertuduh ketika berjumpa tertuduh di pejabat Pengerusi FELDA. Semua ini mahkamah dapati tidak berjaya disangkal oleh mana-mana keterangan saksi pembelaan,” katanya ketika membaca penghakiman ringkasnya.
Selain itu, Hakim Mohd. Nazlan memberitahu, keterangan dua saksi pembelaan iaitu pesara tentera, Mohamad Jani Ismail dan bekas guru, Dahalan Tunggal tidak boleh dipercayai dan tidak boleh diterima.
Hakim tersebut turut menyenaraikan 10 alasan keterangan kedua-dua saksi tidak boleh diterima antaranya kedua-dua saksi itu tidak membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa tentang pengakuan Muhammad Zahid yang dikatakan pernah mengakui pernah menerima RM2 juta sebagai peranannya dalam penjualan MPHS.
Berhubung dakwaan Muhammad Zahid berkomplot dengan beberapa individu lain untuk menyeleweng wang rasuah yang merupakan komisen hasil penjualan hotel berkenaan, Hakim Mohd. Nazlan menyatakan, dakwaan tersebut tidak bermerit.
“Mahkamah tidak terima teori ini. Tiada keterangan, termasuk oleh saksi pembelaan yang membayangkan perkara ini sebenarnya telah berlaku. Tiada sebab munasabah untuk Ikhwan dan Pengarah JV Evolution Sdn Bhd (JVESB), Azizi Abdul Wahab yang merupakan ahli perniagaan dan beroleh manfaat daripada persetujuan dan kelulusan FICSB atas pembelian MPHS untuk merancang menipu dan menganiaya tertuduh pula.
“Tiada bukti Muhammad Zahid berkomplot dengan individu lain untuk berkongsi wang suapan tersebut dan menipu dan melakukan penganiyaan kepada tertuduh seperti yang dibangkitkan pihak pembelaan. Tiada keterangan yang menunjukkan SP21 yang berkhidmat dengan tertuduh mempunyai motif untuk menyalahgunakan kedudukan tertuduh bagi meminta suapan untuk diri sendiri,” katanya.
Selepas menjatuhkan hukuman tersebut, peguam bela tertuduh, Datuk Sallehuddin Saidin memohon agar hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan namun Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz membantah penggantungan tersebut kera tiada sebarang keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan dibolehkan.
Hakim Mohd. Nazlan selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak membenarkan penangguhan tersebut selepas mendapati pembelaan berjaya menunjukkan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan penggantungan pelaksanaan hukuman.
Mahkamah bagaimanapun menaikkan jumlah jaminan RM800,000 sebelum ini kepada RM1.5 juta.
“Baki wang ikat jamin (RM700,000) perlu dibayar selewat-lewatnya pukul 2 petang esok,” katanya sebelum mengakhiri prosiding. Tertuduh juga perlu melapor diri ke balai polis berdekatan rumahnya pada setiap 1 hari bulan setiap bulan sehingga rayuan selesai.
Terdahulu, Sallehuddin memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu. -UTUSAN










