PUTRAJAYA: Pejabat Peguam Negara sedang menyediakan draf untuk ditingkatkan lagi hukuman kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan saranan yang disuarakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, baru-baru ini.
“Pejabat Peguam Negara memang dalam proses menyiapkan draf tersebut dan insya-Allah, jika telah diluluskan, ia akan segera diumumkan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Menurut Ismail Sabri, pengumuman perkara itu dilakukan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan.
Kata beliau, ini kerana perubahan kadar kompaun dan hukuman denda di mahkamah melibatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika ini di bawah Ordinan Darurat.
Kadar ditetapkan menerusi akta itu pada masa ini hanya maksimum RM1,000 dan tidak pernah berubah sejak diwartakan lebih 33 tahun lalu.
Menyentuh isu ada pihak tertentu menyalurkan bantuan bagi mangsa bencana atau penduduk miskin tanpa mematuhi SOP, beliau berharap masyarakat mengadu kepada polis.
“Polis biasanya mengambil tindakan segera walaupun ke atas penganjur misi bantuan. Jika betul tidak diambil, ia mungkin ada sebab pertimbangan atau budi bicara tertentu,” jelasnya.
Beliau memberi contoh pengalaman dirinya yang menerima banyak mesej bergambar melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial bagi memaklumkan pelanggaran SOP di lokasi tertentu.
Ditanya kelewatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan SOP Tahun Baharu Cina, beliau berkata, ia disebabkan mereka perlu menunggu keputusan pelanjutan PKP hari ini.
Pihak terbabit termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perpaduan Negara dijangka bermesyuarat secepat mungkin agar SOP dapat diumumkan juga dalam masa terdekat.
“Sebelum ini, MKN tidak pasti PKP diterus atau diganti PKP Bersyarat lepas 4 Februari, maka apabila sudah dimaklum keputusan rasmi, SOP perayaan itu dimuktamadkan,” katanya.
Ismail Sabri menjangka, sambutan tahunan terbesar masyarakat Cina itu pada tahun ini berlangsung dalam norma baharu seperti Hari Raya Puasa, Deepavali dan Krismas lepas.
Beliau turut ditanya nasib ramai guru dari Semenanjung yang terpaksa menjalani banyak kali ujian calitan kerana jadual penerbangan mereka ke Sabah dan Sarawak kerap kali diubah.
Justeru, beliau akan membawa isu itu kepada Kementerian Pendidikan untuk pertimbangan kelonggaran dan Kementerian Pengangkutan untuk bertindak ke atas operator penerbangan. – UTUSAN ONLINE










