TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) dan Iran saling melancarkan siri serangan pada Sabtu, dalam insiden terbaharu yang mengancam gencatan senjata dalam perang di Asia Barat.
Tentera AS berkata, pasukannya menembak jatuh empat dron Iran yang dilancarkan ke arah Selat Hormuz, serta menyerang tapak radar pengawasan pantai sebagai tindak balas.
Beberapa jam kemudian, Iran pula menyasarkan pangkalan tentera AS di rantau itu, dengan Kuwait dan Bahrain mengeluarkan amaran serangan udara.
Insiden terbaharu itu merupakan sebahagian daripada siri pertempuran yang semakin menekan gencatan senjata serta menjejaskan usaha mencapai perjanjian untuk melanjutkan tempoh tersebut.
Komando Pusat AS (CENTCOM) pada awal Sabtu berkata, dron serangan Iran menimbulkan ancaman kepada pergerakan maritim serantau, manakala tindakan ke atas tapak radar pengawasan adalah untuk ‘mempertahankan diri’ daripada serangan selanjutnya.
Tentera AS turut melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sebagai tindak balas terhadap tindakan Teheran yang didakwa menjejaskan laluan di Selat Hormuz, menyebabkan harga tenaga melonjak.
Beberapa jam kemudian, Pasukan Pengawal Revolusi Iran berkata, mereka menyasarkan ‘pangkalan musuh’ di Teluk, susulan serangan AS ke atas Sirik dan Pulau Qeshm.
Tentera Kuwait dalam kenyataan pada awal pagi semalam berkata, pasukannya bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron tersebut, beberapa hari selepas insiden menyasarkan lapangan terbang antarabangsa negara itu yang mengorbankan satu nyawa dan mencederakan puluhan lain.
“Iran melancarkan tujuh peluru berpandu balistik ke arah Kuwait dan Bahrain,” kata CENTCOM, sambil menambah enam daripada dipintas dan satu lagi tidak terkena sasaran.
CENTCOM menegaskan, tiada laporan kecederaan terhadap anggota AS, dan menafikan dakwaan Iran mengenai kerosakan ke atas ibu pejabat Armada Kelima AS di Bahrain.
Sehingga kini, rundingan antara AS dan Teheran masih berlangsung untuk melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari dan memulakan pusingan baharu mengenai program nuklear Iran.
Bagaimanapun, kedua-duanya terus mengemukakan tuntutan perubahan terhadap perjanjian itu, dengan tiada pihak dilihat bersedia untuk berkompromi.- AGENSI










