MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghormati pendirian yang dibuat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Jumaat lalu yang didakwa menolak kerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presidennya, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, keputusan itu merupakan hak parti berkenaan.
Namun, katanya, Bersatu kekal dengan pendirian mahu kerjasama diteruskan bersama UMNO dan Pas yang kini membentuk Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum kelak.
“Tidak boleh paksa UMNO untuk terima kita dan pakatan dalam PN. Kita sentiasa bersikap terbuka dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh rakan dalam PN,” katanya.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, MT UMNO sepakat menolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, Bersatu perlu meneruskan perjuangan sekiranya kerjasama bersama UMNO tidak dapat dicapai.
“KIta akan teruskan juga dengan perjuangan Bersatu kalau benar-benar tiada pilihan lagi.
“Tetapi, jika diberi pilihan, Melayu perlu bersatu. Formula kestabilan Malaysia sebelum ini pun disebabkan Melayu bersatu yang ketika itu di bawah Barisan Nasional (BN) tetapi kali ini di bawah PN,’’ katanya.
Mohd. Rashid yang juga bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu berkata, Pas, UMNO serta Bersatu secara dasarnya adalah parti orang Melayu dan pada masa yang sama bangsa-bangsa lain boleh bersama untuk mendapat kestabilan.
“Pada akhirnya rakyat mahukan kebersamaan untuk bekerjasama. Adalah lebih baik kita ambil pandangan daripada rakyat juga,” katanya.










