Ambil tindakan terhadap pelajar tayang video lucah ketika PdPR - Utusan Malaysia

Ambil tindakan terhadap pelajar tayang video lucah ketika PdPR

NORMALA SUDIRMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Persatuan Kebajikan Pendidikan Ummah Malaysia (Pendidik) memandang serius isu seorang pelajar yang menayangkan video lucah ketika sesi pembelajaran secara dalam talian, baru-baru ini.

Presidennya, Normala Sudirman berkata, semua pihak terlibat terutama ibu bapa perlu memantau kelakuan anak-anak mereka khususnya ketika sedang berdepan dengan guru masing-masing.

Katanya, tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pelajar terlibat sebagai usaha mendidik untuk berubah ke arah kebaikan.

“Unsur gangguan seksual seperti yang dilakukan oleh pelajar tingkatan satu melalui aplikasi Google Meet perlu diambil tindakan dengan memberi amaran dan surat pemakluman kepada ibu bapa agar mengawasi tingkah laku anak-anak yang sedang meningkat remaja walaupun mungkin kes ini dianggap terpencil.

“Pelajar ini mesti meminta maaf kepada guru dan dikenakan hukuman bersesuaian dengan peraturan sekolah masing-masing agar berubah sikap dan insaf atas kelakuan yang biadab itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini tular dalam media sosial seorang pelajar yang sedang mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menayangkan video lucah ketika gurunya sedang mengajar.

Perbuatan itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat khususnya berhubung akhlak remaja masa kini selain cabaran dihadapi para guru dalam menjayakan proses PdPR mengikut norma baharu akibat pandemik Covid-19.

Menurut Normala, pihaknya bagaimanapun tidak berharap proses PdPR dihentikan kerana terdapat kes sedemikian yang berlaku tetapi sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan menjayakan program tersebut demi kebaikan generasi muda negara ini.

“Tanpa mengetepikan kepentingan proses PdPR berlangsung di saat rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, proses pembelajaran tidak boleh dihentikan hanya kerana sikap segelintir pelajar nakal seperti ini.

“Dalam masa yang sama, Pendidik berharap semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan dan ibu bapa memahami betapa sukar dan begitu berat tanggungjawab guru ketika melalui norma baharu menjalankan PdPR,” ujarnya.

Ujar beliau, antara cabaran lain yang dihadapi khususnya oleh guru wanita adalah segelintir golongan bapa yang turut mengikuti sesi PdPR untuk mengambil kesempatan melihat mereka mengajar.

“Tindakan sedemikian sedikit sebanyak mengurangkan rasa selesa terhadap golongan guru-guru berkenaan. justeru diharapkan semua pihak menghargai dan menghormati guru-guru yang sedang melakukan usaha terbaik dengan menunjukkan akhlak dan sikap mulia ketika mengadakan komunikasi bersama mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berharap bukan hanya para murid dan pelajar, tetapi golongan ibu bapa juga perlu sentiasa mengamalkan adab dan etika bersesuaian melalui penggunaan media sosial seperti ketika PdPR berlangsung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.