Amanah Johor belum terima makluman rasmi - Utusan Malaysia

Amanah Johor belum terima makluman rasmi

AMINOLHUDA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tidak menerima apa-apa maklumat daripada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang dikhabarkan meninggalkan mereka.

Pengerusi Amanah Negeri, Aminolhuda Hassan berkata, ketiga-tiga mereka setakat ini tidak memberikan apa-apa makluman rasmi kepada parti melainkan berita yang dilaporkan media sejak semalam.

“Kami belum terima apa-apa maklumat, apa-apa nanti saya akan keluarkan satu kenyataan rasmi (berhubung perkara itu),” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia sebentar tadi.

Semalam, tiga wakil rakyat Amanah iaitu ADUN Senggarang, Ir. Khairuddin A. Rahim; ADUN Serom, Dr. Faizul Amri Adnan dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit dilaporkan menyertai PKR.

IR. KHAIRUDDIN A. RAHIM

Khairuddin berkata, dia telah memohon untuk menyertai PKR sejak September tahun lalu dan kini menyertai PKR Cabang Batu Pahat.

“Saya telah memohon untuk menyertai PKR pada bulan September 2020 dan Alhamdulillah telah diterima. Nombor keanggotaan saya ialah J1100004520.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR dan semua pimpinan serta ahli PKR khusus kepada pimpinan Negeri Johor dan pimpinan Cabang Batu Pahat yang telah menerima keanggotaan saya,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Amanah Senggarang menafikan punca perpindahan mereka bertiga ke PKR adalah disebabkan perselisihan faham dengan pemimpin Amanah Johor.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen Faizul Amri dan Muhamad Said belum berhasil.

Untuk rekod, Amanah memiliki sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor termasuk Simpang Jeram yang disandang Timbalan Pengerusi Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub serta Aminolhuda di DUN Parit Yaani.

Empat lagi kerusi adalah DUN Kota Iskandar, Kemelah, Pulai Sebatang dan Maharani. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya