BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri menahan sebuah kontena yang membawa 80 tong dram berisi lemak susu dalam pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini semalam.
Produk seberat 16.8 tan metrik yang dibawa masuk dari New Zealand itu dirampas dalam operasi kira-kira pukul 5.30 petang.
Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, siasatan mendapati pemiliknya membawa masuk produk itu ke negara ini dengan mengemukakan sijil kesihatan berbeza dari negara pengimport.
Tindakan itu, jelas beliau, adalah kesalahan kerana mengisytiharkan dokumen tidak tepat seperti dinyatakan pada syarat permit import Maqis yang sah.
“Sehubungan itu, sebanyak16,800 kilogram lemak susu tersebut yang dianggarkan bernilai kira-kira RM300,110 disita bagi siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati produk tersebut diimport untuk dijadikan produk yang diproses iaitu makanan dan minuman manusia serta bagi pasaran negara ini dan luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. – UTUSAN ONLINE










