fbpx

6 Mac 2021, 2:21 pm

  TERKINI

1,086 PATI Myanmar dihantar pulang

KHAIRUL DZAIMEE DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kedutaan Myanmar  melaksanakan program penghantaran pulang 1,086 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Myanmar di Lumut, Perak semalam.

Kesemua PATI tersebut sebelum ini ditahan di depot-depot imigresen di seluruh negara sejak tahun lalu. 

Ketua Pengarah JIM, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka dihantar pulang melalui Pangkalan TLDM Lumut  dengan menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar.

“JIM  menegaskan semua tahanan yang dihantar pulang adalah PATI warganegara Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka. 

“Kesemua mereka yang dihantar pulang bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kata beliau, program penghantaran pulang itu adalah sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM bagi tahanan yang ditempatkan di depot imigresen. 

Jelasnya, proses pengusiran pada tahun lalu perlahan kerana kebanyakan negara menutup pintu sempadan.

 “Jabatan ini, melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara lain seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat masing-masing yang kini ditahan di negara ini.

“Mereka warga asing masih ramai dalam depot-depot imigresen di negara ini.JIM berterima kasih  atas kerjasama semua pihak khususnya TLDM  menjayakan program penghantaran pulang ini,” katanya. – UTUSAN