Tanah runtuh, kedai di Medan Selera Geliga dihempap bongkah batu - Utusan Malaysia

Tanah runtuh, kedai di Medan Selera Geliga dihempap bongkah batu

SEBUAH kedai makan di Medan Selera Geliga mengalami kerosakan selepas ditimpa bongkah batu dan tanah dalam kejadian tanah runtuh di laluan belakang Masjid Geliga, di Kemaman, Terengganu, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sebuah kedai makan di Medan Selera Geliga, di sini mengalami kerosakan dan nyaris tertimbus selepas dihempap bongkah batu dalam kejadian tanah runtuh, petang semalam. 

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu turut mengakibatkan laluan belakang ke Masjid Geliga tertimbus, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan

Pemilik kedai, Khairul Azma Mohd. Nor, 34, bersyukur kerana ketika kejadian dia bersama isteri dan pekerjanya masih berada di rumah masing-masing memandangkan operasi perniagaan dilewatkan berikutan hujan yang terlalu lebat.

“Sebenarnya saya mahu membuka kedai awal kerana barang-barang basah semua sudah dibeli tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana hujan. Keadaan kedai hanya diketahui selepas dihubungi rakan-rakan.

“Buat masa ini saya terpaksa menutup perniagaan selepas separuh daripada premis saya dihempap batu berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran kedai saya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Khairul Azma difahamkan, sebelum runtuhan besar itu berlaku terdapat dua kali kejadian runtuhan kecil yang mengakibatkan bongkah batu jatuh di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, hujan lebat berterusan dipercayai menyebabkan mendapan tanah dan tanah runtuh di Medan Selera Geliga.

Katanya, premis terlibat sudah diarahkan menghentikan operasi perniagaan buat sementara waktu kerana bimbang kejadian runtuhan berulang jika hujan masih berterusan.

“Di kawasan bukit di tempat kejadian terdapat sebuah menara telekomunikasi yang berisiko tumbang sekiranya berlaku lagi pergerakan tanah. 

“Kita telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian dan pihak bomba akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa mengenai kejadian ini,” katanya.

Tinjauan di lokasi kejadian malam tadi mendapati pita keselamatan dipasang di lokasi tersebut dan hanya sebuah kedai makan daripada deretan hampir 10 premis yang beroperasi. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya