Mangsa dijual kawan baik, dipaksa jadi ‘scammer’ di Kemboja

Mangsa dijual kawan baik, dipaksa jadi ‘scammer’ di Kemboja

AZIRUL Syafiq Sazali (tiga, kiri) ketika sidang media dengan tiga mangsa sindiket pemerdagangan manusia di KLIA Terminal 1. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kelazimannya mangsa terjebak dalam kancah kes jenayah pemerdagangan manusia kerana terpedaya dengan skim tawaran janji menarik pekerjaan di luar negara.

Ironi, lain pula kisah kali ini apabila Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan ada mangsa terlibat kerana dijual oleh kawan baik sendiri.

Menurut aktivis badan bukan kerajaan itu, Azirul Syafiq Sazali, perkara tersebut dibongkar hasil misi penyelamatan seorang mangsa yang terperangkap di Kemboja hampir 30 hari.

“Dia dibawa kawannya itu datang ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dijual pula kepada dua ejen warga China,” katanya ketika ditemui dengan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim meraikan kepulangan lima mangsa penipuan pekerjaan itu di Terminal 1 KLIA, lewat malam tadi.

Mereka terdiri daripada masing-masing dua yang diselamatkan dari Myanmar dan Laos serta seorang dari Kemboja dengan kesemuanya adalah lelaki berusia bawah 30 tahun.

Mengulas lanjut, Azirul Syafiq berkata, mangsa dijual kerana didakwa banyak berhutang dan kemudian diiringi ketat oleh ejen tersebut menaiki pesawat menuju ke Phnom Penh pula.

“Dari ibu kota Kemboja itu, mangsa menaiki kenderaan dibawa ke Bavet, bandar terbesar wilayah Svay Rieng bersempadan Vietnam dan dijual kepada syarikat di sana,” jelasnya.

Lokasi berkenaan merupakan zon ekonomi khas di negara itu dan menggantikan peranan Sihanoukville yang sebelum ini amat terkenal sebagai hab jenayah penipuan pekerjaan.

Mangsa mujur berjaya menghubungi MHO dan beliau segera menghubungi ketua sindiket yang juga warga China namun dipaksa menandatangani dokumen pembayaran hutang.

Azirul Syafiq bagaimanapun bertegas enggan berbuat demikian malah meminta mangsa tidak membayar tebusan berjumlah puluhan ribu yuan kerana disifatkan sebagai ugutan.

“Saya yang ketika itu di Thailand bagi misi pembebasan mangsa dari Myanmar, kemudian ancam penjenayah tersebut dengan hantar pihak polis Kemboja datang ke situ,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Duta Besar Malaysia, Datuk Eldeen Husaini Mohd. Hashim yang bertindak campur tangan dan menyebabkan sindiket berkenaan mengalah.

Akhirnya ujar beliau, mangsa itu dibawa balik oleh sindiket tersebut ke lapangan terbang di Phnom Penh sebelum diselamatkan polis dan terus diserahkan kepada pihak kedutaan.

Berdasarkan siasatan awal jelas Azirul Syafiq, mangsa dikerahkan untuk menipu dalam skim pemasaran berbilang tingkat kononnya menjanjikan pulangan pelaburan cukup lumayan.

“MHO difahamkan bahawa mangsa tidak cuba melarikan diri atau meminta tolong semasa di KLIA sebelum itu kerana mungkin panik dan kebetulan dikatakan lembam,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN