KUALA LUMPUR: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 dari 20 hingga 24 Mei tahun depan akan memperkenalkan beberapa segmen baru bagi menarik penyertaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri aeroangkasa dan maritim.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pameran edisi ke-17 itu juga akan menggalakkan penyertaan daripada institusi pendidikan tinggi awam dan swasta yang memiliki kepakaran industri aeroangkasa dan maritim.
“Ini adalah hasrat dan inisiatif Kementerian Pertahanan untuk menjadikan LIMA 2025 sebagai sebuah pusat perkembangan industri dan pembangunan sumber manusia,” ujarnya selepas majlis pelancaran awal LIMA 2025 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi GEC, Leftenan Jeneral Datuk Seri Sabri Adam serta Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.
Adly berkata, acara anjuran Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn. Bhd. (GEC) itu sudah mendapat sambutan awal daripada syarikat dalam dan luar negara walaupun baru sahaja dilancarkan semalam.
“Tema Innovate Today, Thrive Tomorrow pada kali ini mahu menggalakkan pemain-pemain industri untuk sentiasa berinovasi dan meningkatkan daya saing seiring dengan perkembangan teknologi yang kian pesat,” katanya.
Beliau berkata, sambutan awal yang menggalakkan itu membuktikan LIMA adalah sebuah acara yang dinanti-nantikan oleh pemain tempatan dan antarabangsa dalam industri aeorangkasa dan maritim.
Katanya, bagi memastikan kejayaan penganjuran LIMA 2025, GEC menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa syarikat termasuk Arabian World Events, QUBE Integrated Malaysia Sdn. Bhd., SHP Media Sdn. Bhd., Curio Pack Sdn. Bhd., Malaysian Aerospace Industry Association (MAIA) dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MiGHT). – UTUSAN










