‘Senyuman terakhir abah’ - Utusan Malaysia

‘Senyuman terakhir abah’

SITI Aishah Mohamad menunjukkan gambar terakhir yang dirakamkannya semasa makan tengah hari bersama arwah bapanya, Mohamad Ismail dan arwah ibunya, Halijah Ahmat serta ibu saudaranya di sebuah kedai di Tampin. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: “Tak sangka itu petanda akhir.” Demikian cerita Siti Aishah Mohamad, 41, mengenai wajah ceria yang ditunjukkan ba­panya, Mohamad Ismail, 70, seolah-olah petanda akhir sebelum bapanya itu menyahut panggilan Ilahi selepas terbabit dalam kemalangan di simpang Kilang Gedok Mas, Gemencheh dekat sini malam kelmarin.

Kemalangan itu turut me­ngorbankan ibunya, Halijah Hamat, 62.

Dalam kemalangan ber­kenaan, Mohamad dan Halijah, beralamat di Felda Palong 3, Gemas di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Siti Aishah yang juga anak kedua mangsa, kali terakhir dia bertemu kedua ibu bapanya itu adalah semasa makan tengah hari bersama di sebuah kedai yang disukai bapanya dekat sini.

“Abah dan mak bawa ibu saudara, Maimunah Hamat, 70-an yang merupakan orang kurang upaya (OKU) ke sebuah bank di Tampin dan kebetulan saya yang bekerja di sini makan bersama-sama mereka di kedai kesukaan arwah abah.

“Abah minta bungkuskan laksa, kari kepala ikan namun rupa-rupanya makanan berkenaan tidak dijamah, kakak saya memberitahu sebelum berangkat pulang ke Palong, abah senyum sahaja dan tidak seperti biasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Tampin semalam.

Siti Aishah berkata, walaupun masih bersedih serta terkejut kehilangan serentak ibu dan bapanya, dia sekeluarga reda dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab. Wahab berkata, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki sepasang suami isteri itu dan sebuah tre­ler yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 50-an.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, treler berkenaan sedang keluar dari simpang kilang ke arah Tampin untuk pergi be­kerja.

“Ketika treler keluar, datang kenderaan mangsa dari arah Tampin ke Gemas dan me­rempuh tayar belakang sebelah kanan treler berkenaan.

“Akibat kemalangan, suami isteri berkenaan disahkan me­ninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN