PKP: Jenayah komersial turun 50% - Utusan Malaysia

PKP: Jenayah komersial turun 50%

ZAINUDDIN YAACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penangan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu memperlihatkan nilai kerugian membabitkan jenayah komersial di negara ini turun mendadak lebih 50 peratus, dengan hanya RM2.06 bilion sepanjang tahun lalu berbanding RM6.22 bilion pada 2019.

Penurunan indeks kerugian itu disebabkan jenayah pecah amanah yang semakin berkura­ngan iaitu hanya 1,230 kes de­ngan nilai kerugian RM641 juta tahun lalu berbanding 2,067 kes dengan nilai kerugian RM4.5 bilion tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kes membabitkan penipuan di bawah Seksyen 415-420 Kanun Ke­seksaan yang menjadi penyumbang terbesar pada tahun 2019 de­ngan memonopoli 84 peratus daripada keseluruhan kes terus meningkat kepada 89 peratus daripada kes keseluruhan tahun lalu, dengan nilai kerugian RM1.4 bilion.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob menjelaskan, trend jenayah komersial tahun lalu sedikit berubah dengan pelaksanaan PKP berikutan penula­ran Covid-19 kerana kurangnya pergerakan sekali gus menyukarkan penjenayah bersemuka dan memancing mangsa.

Ujarnya, dalam situasi pandemik Covid-19, timbul banyak sindiket penipuan yang menjalankan kegiatan menggunakan teknologi media sosial dan aplikasi telefon pintar, sekali gus mencatatkan peningkatan kes penipuan khususnya e-dagang dan pelaburan palsu.

“Kita dapati penjenayah lebih memfokuskan penipuan e-dagang dan pelaburan palsu yang tidak perlu bersemuka berikutan pelaksanaan PKP. Ini dapat dilihat daripada statistik peni­puan e-dagang yang mencatatkan kerugian RM40 juta menerusi 5,769 kes tahun lalu berbanding kerugian RM28 juta menerusi 3,420 kes pada tahun 2019.

“Ketika pelaksanaan PKP, orang ramai lebih banyak membuat pembelian menerusi platform e-dagang, jadi sudah tentu terdapat sindiket yang mempergunakan trend tersebut sebagai satu peluang baharu menipu pembeli. Kita telah jalankan siasatan dan menahan 2,206 suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya dalam sesi wawancara baru-baru ini.

Menurut Zainuddin, penipuan pelaburan juga menunjukkan peningkatan 40 peratus iaitu 1,628 kes dengan nilai kerugian RM179 juta berbanding 953 kes pada tahun 2019 dengan kerugian RM216 juta.

“Kes pelaburan palsu ini termasuk sindiket pelaburan LikeShare, Isharefans, Zan Zan Le, Test Fight dan Queqiabao yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Bagi kes tersebut, sebanyak 844 tangkapan dibuat dan ada yang dihadapkan ke mahkamah.

“Kes pelaburan palsu ini semakin meningkat sejak penularan pandemik Covid-19 dan penjenayah mengambil kesempatan terhadap situasi getir ramai pihak dengan menawarkan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat,” ujarnya.

Tambah beliau, seperti tahun-tahun sebelumnya, jenayah komersial paling banyak berlaku di enam negeri utama iaitu Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

“Bagi tahun lalu, kes paling banyak berlaku di Johor de­ngan nilai kerugian RM280 juta diikuti Selangor dengan 4,022 kes (nilai kerugian RM590 juta) dan yang ketiga Kuala Lumpur dengan 3,954 kes (nilai kerugian RM558 juta).

“Selangor mencatatkan kerugian tertinggi kerana negeri tersebut adalah negeri perindustrian utama negara. Oleh itu, semua terutama usahawan perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mang­sa penipuan perniagaan, kontrak dan sebagai­nya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN