PUTRAJAYA: Ketika kekalutan ibu bapa, pelajar dan guru masih terkial-kial menyelesaikan masalah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ada pula pihak tidak bertanggungjawab menambah beban dengan mengaut keuntungan menjual buku teks digital.
Setakat ini dianggarkan kira-kira 49,874 murid sekolah menjadi mangsa kepada sindiket tidak bertanggungjawab yang menjual buku teks digital pada harga RM1.50 setiap buku.
Walaupun hanya satu peratus daripada lebih 4.9 juta pelajar sekolah menjadi mangsa namun sindiket tersebut yang baru seminggu beroperasi dianggarkan sudah mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit untuk satu buku.
Jika diambil kira kesemua mata pelajaran yang ditawarkan, laba diperoleh ‘penyamun’ itu mampu mencecah nilai lebih puluhan juta ringgit.
Berdasarkan congak ringkas, sekiranya katakan 50,000 murid membeli satu buku sahaja daripada mereka dengan harga RM1.50 untuk satu mata pelajaran, sindiket itu sudah untung atas angin RM75,000.
Bayangkan pula jika hampir lima juta pelajar di seluruh negara membeli daripada sindiket ini hampir 15 buku teks pelbagai subjek di sekolah, mereka sudah mampu catat laba RM112 juta.
Modus operandi sindiket atau orang tidak bertanggungjawab ini ialah menyasarkan ibu bapa dan pelajar kurang mahir dengan teknologi selain tidak mengetahui kesahihan berita buku teks digital percuma diwar-warkan Kementerian Pendidikan.
Penyamun `maya’ yang sedang mengambil kesempatan tersebut didedahkan agensi Kementerian Pendidikan, Perbadanan Kota Buku (PKB) dalam hantaran terkini menerusi laman sosial rasminya semalam.
Sehubungan itu, PKB yang ditubuhkan kementerian pada 2011 selaras Dasar Buku Negara, mahu ibu bapa berwaspada dengan sindiket menjual buku teks digital pada harga RM1.50 setiap buku sedangkan ia adalah percuma.
“Buku teks digital sebenarnya tiada bayaran. Namun ada golongan ambil kesempatan dengan jual kepada pelajar sekolah. Nampak murah tetapi mereka sudah pun dapat untung atas angin cecah ratusan ribu ringgit,” katanya.
“Tindakan ‘lanun cetak rompak’ ini kesalahan serius di bawah Seksyen 41, Akta Hak Cipta Pindaan 2003 kerana jelas pelanggaran paten buku teks digital tulen.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap salinan atau dipenjara tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” kata PKB.
Berikutan itu, PKB berkata, pihaknya mengambil langkah segera bagi bendung isu ini dengan melaporkan kepada pihak berkenaan bagi tindakan susulan serta mengelak berlaku keadaan lebih serius.
Agensi itu turut mengulangi kenyataan bahawa semua buku teks digital terbitannya adalah percuma untuk memastikan semua murid mendapat akses bahan rujukan mengikut sukatan.
Justeru, PKB berharap ibu bapa memantau anak-anak mereka agar tidak terus beli buku teks ‘berbayar’ tersebut.
Hantaran PKB itu menjangka, ada kemungkinan ramai tidak tahu pihak kementerian memberi secara percuma sejajar dengan polisi Skim Pinjaman Buku Teks sejak dekad 1970-an lagi.
“Apabila beli buku teks haram, anda sebenarnya sokong cetak rompak dengan menafikan hak pelbagai pihak terlibat daripada penulis, penyedia bahan, penerbit dan ramai lagi,” katanya.
Mereka yang ingin memuat turun buku teks digital itu, boleh menelusuri pautan rasmi iaitu https://textbook.moe.gov.my dan kemudian ikut arahan seterusnya untuk proses pendaftaran.
Para pengguna yang berminat kata PKB, juga boleh memperolehnya menerusi wadah aplikasi Google Play Store atau Apple App Store dengan carian kepada KPM eTextbook Reader.
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedang menyemak dan menyiasat dakwaan tersebut. – UTUSAN










