Penanam cili fertigasi curi air  - Utusan Malaysia

Penanam cili fertigasi curi air 

SPAN potong bekalan air di tapak semaian cili di Semenyih semalam kerana guna bekalan air tidak sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memotong bekalan air di sebuah tapak semaian cili fertigasi di Semenyih semalam  kerana mencuri bekalan dengan membuat penyambungan haram.

Menerusi kenyataan akhbar, SPAN berkata, pihaknya bertindak selepas mendapati wujud aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang di tapak semaian itu.

“SPAN menemui satu sambungan paip tanpa menggunakan meter yang disyaki digunakan bagi tujuan tapak semaian tersebut dan kegunaan harian pekerja.

“Pemotongan bekalan air diambil serta-merta dan pengusaha tapak semaian yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk memberi keterangan dan bakal berdepan tindakan undang-undang,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, operasi berkenaan disertai Unit Penguatkuasaan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Bahagian Penguatkuasaan SPAN.

SPAN komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan secara menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada pengurangan kadar air tidak terhasil (NRW).

Kesalahan membuat penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang dari sesalur utama awam boleh disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau emel [email protected] jika mempunyai maklumat mengenai penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya