Malaysia, Bangladesh setuju percepat rundingan FTA

Malaysia, Bangladesh setuju percepat rundingan FTA

ANWAR Ibrahim dan Tarique Rahman menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara kedua-dua negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh bersetuju mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) selain memperluaskan kerjasama dalam sektor strategik termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan tenaga bagi meningkatkan hubungan ekonomi dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara bersetuju memperkukuh hubungan menerusi kerjasama yang lebih menyeluruh, melangkaui bidang perdagangan dan pelaburan yang selama ini menjadi tunjang utama hubungan dua hala.

“Kita perlu memperkukuh hubungan dua hala dan perkara ini telah dibincangkan bersama antara Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan kementerian berkaitan di Bangladesh untuk menyahut cabaran ini melalui pelaksanaan FTA secara pantas serta kerjasama menyeluruh dalam semua bidang.

“Kerjasama itu tidak hanya terhad kepada perdagangan dan pelaburan, walaupun ia kekal sebagai tunjang utama, tetapi turut meliputi penyelidikan, sains dan teknologi baharu, semikonduktor serta AI kerana inilah cabaran masa depan untuk rakyat kita,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman di sini, hari ini.

Katanya, pertukaran nota persefahaman yang dimeterai hari ini turut merangkumi kerjasama kebudayaan, penyelidikan berkaitan pencegahan keganasan serta promosi dan pemudahcaraan pelaburan.

Anwar berkata, perdagangan antara Malaysia dan Bangladesh masih berada pada tahap sederhana meskipun Bangladesh mempunyai potensi ekonomi yang besar.

“Bangladesh ialah sebuah negara besar dengan potensi yang amat besar dan bersama Malaysia, kita perlu meningkatkan perdagangan serta pelaburan dua hala.

“Selain sektor pertanian yang kekal sebagai antara bidang utama, kita juga perlu memberi tumpuan kepada semikonduktor, ekonomi digital, tenaga dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua negara turut mengatur pertemuan antara agensi dan syarikat berkaitan bagi meneroka peluang kerjasama baharu termasuk antara Petronas dan Petrobangla dalam sektor gas asli cecair (LNG).

Katanya, kerjasama itu juga melibatkan industri halal, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan yang dilihat mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada kedua-dua negara.

Sementara itu, Tarique berkata, pihaknya bersedia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, termasuk memperluaskan kerjasama melalui mekanisme sedia ada serta FTA Malaysia-Bangladesh.

Katanya, kedua-dua negara akan terus meningkatkan penglibatan melalui mesyuarat suruhanjaya bersama dan rundingan berkala antara Menteri-Menteri Luar bagi memperkukuh kerjasama diplomatik dan ekonomi.

“Malaysia dan Bangladesh turut mengalu-alukan pertumbuhan perdagangan dua hala serta bersetuju untuk meneruskan perbincangan berkaitan FTA bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi antara kedua-dua negara.

“Kerjasama itu bukan sahaja tertumpu kepada perdagangan, malah turut melibatkan pelbagai sektor strategik termasuk pelaburan, teknologi, industri halal, pendidikan serta pembangunan kemahiran, selain potensi dalam bidang semikonduktor dan ekonomi digital,” katanya.

Terdahulu, Anwar dan Tarique menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) dan nota pertukaran antara dua negara melibatkan kerjasama dalam penyelidikan berkaitan keganasan, kebudayaan serta promosi dan pemudahcaraan pelaburan.

Bagi kerjasama penyelidikan keganasan, pertukaran nota akan disempurnakan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bersama rakan sejawatnya dari Bangladesh, Dr Khalilur Rahman, manakala MoU kebudayaan ditandatangani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Satu lagi pertukaran nota melibatkan promosi dan pemudahcaraan pelaburan antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Dr Khalilur Rahman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN