Malaysia, Bangladesh guna platform ASEAN tangani isu Rohingya

Malaysia, Bangladesh guna platform ASEAN tangani isu Rohingya

Anwar dan Tarique pada sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh akan memanfaatkan mekanisme blok ASEAN untuk terus berinteraksi dengan Myanmar bagi menyelesaikan isu pelarian Rohingya sama ada di negara ini atau Bangladesh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus berusaha mencari penyelesaian terhadap nasib pelarian berkenaan.

“Sudah tentu, melalui usaha bersama, kita akan terus berusaha mencari penyelesaian terhadap nasib pelarian Rohingya di Bangladesh dan juga di Malaysia.

“Melalui peranan baik Kementerian Luar serta mekanisme ASEAN, kita akan terus berinteraksi dengan pihak berkuasa Myanmar bagi membantu menyelesaikan sebahagian daripada isu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Terdahulu, Tarique dalam ucapannya berkata, pihaknya merakamkan terima kasih kepada Malaysia terhadap sokongan berterusan terhadap usaha memastikan pelarian Rohingya dapat kembali ke Myanmar secara selamat, bermaruah dan berkekalan.

“Saya menyatakan kebimbangan mendalam terhadap nasib masyarakat Rohingya yang berlindung di Bangladesh.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan berterusan terhadap usaha memastikan mereka dapat kembali ke Myanmar secara selamat, bermaruah dan berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Tarique berkata, pihaknya berhasrat untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN dan bercita-cita menjadi rakan dialog ASEAN.

“Kami juga berminat untuk menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). Saya menghargai sokongan Malaysia terhadap usaha integrasi serantau Bangladesh,” katanya.

Terdahulu, Tarique diberi sambutan rasmi pagi tadi sempena lawatan kerja dua hari ke negara ini bermula semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN