Malaysia, Bangladesh senada tamatkan amalan eksploitasi pekerja asing

Malaysia, Bangladesh senada tamatkan amalan eksploitasi pekerja asing

ANWAR Ibrahim dan Tarique Rahman menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman antara kedua-dua negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Bangladesh senada untuk menamatkan amalan eksploitasi pekerja asing selain memperkukuh sistem pengambilan tenaga kerja yang lebih telus, adil dan melindungi kebajikan pekerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan tenaga kerja asing sememangnya penting bagi kelangsungan ekonomi negara, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan sebarang bentuk penyalahgunaan, ketidakadilan atau eksploitasi terhadap pekerja.

“Amalan mengeksploitasi pekerja, melayan mereka secara tidak adil serta menjadikan mereka alat untuk meraih keuntungan peribadi tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman di sini hari ini.

Katanya, kedua-dua negara turut berkongsi pandangan bahawa sistem pengambilan pekerja perlu diperkukuh supaya lebih telus, tersusun dan tidak dimonopoli pihak tidak bertanggungjawab, selain memastikan kebajikan pekerja serta keluarga mereka terus terpelihara.

Sementara itu, Tarique berkata, kedua-dua negara juga bersetuju bahawa proses pengambilan pekerja perlu dilaksanakan secara lebih telus, adil dan mampu milik, selain mengurangkan peranan orang tengah serta menurunkan kos yang ditanggung pekerja.

Beliau turut membangkitkan isu berkaitan proses pemutihan pekerja tidak berdokumen serta kemungkinan penghantaran pulang rakyat Bangladesh yang kini ditahan, dengan menekankan keperluan penyelesaian yang adil dan berperikemanusiaan.

“Perbincangan hari ini mencerminkan usaha memperkukuh kerjasama Malaysia-Bangladesh dalam pengurusan tenaga kerja asing secara lebih tersusun, beretika dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau turut meminta Malaysia mempertimbangkan pengambilan lebih ramai pekerja Bangladesh serta membuka semula pasaran buruh secepat mungkin bagi memenuhi keperluan tenaga kerja kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN