KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN), pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak tergugat dengan tindakan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang menarik sokongan terhadap gabungan tersebut.
Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan ketika melakukan lawatan kerja di Mahkamah Sesyen/Majistret Setiu yang baharu di Sungai Tarom, Setiu semalam.
Malah Setiausaha Agung Pas itu turut memaklumkan, kerajaan PN masih kerajaan sah dengan majoriti 110 sokongan selain akan terus menjalankan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat.
“Kita mempunyai cukup sokongan dan tiada pihak yang lebih bilangan daripada kita (PN), jadi tiada apa-apa masalah.
“Dan yang penting bagi kita, kerajaan ini adalah kerajaan yang berfungsi sejak dari awal Perdana Menteri mengangkat sumpah pada Mac tahun lalu hingga kini,” katanya.
Bagaimanapun, di Pasir Salak, Perak, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula mendakwa, bukan setakat Ahmad Jazlan tetapi akan ada beberapa lagi ahli parlimen parti itu dijangka menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Tanpa menyebut nama pemimpin dimaksudkan, beliau berkata, perkara itu mungkin berlaku berikutan kedudukan kerajaan PN yang ketika ini sangat tipis sokongannya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan PN tidak lagi memiliki majoriti dalam Dewan Rakyat kerana hanya disokong 110 ahli parlimen.
Beliau mendakwa, jumlah itu sekali gus menyebabkan kerajaan PN tumbang kerana hilang majoriti.
“Berdasarkan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan, ahli Dewan Rakyat ada 222 orang tetapi dua ahli parlimen meninggal dunia.
“Ini menjadikan jumlah ahli Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-14 tinggal 220 orang. Jumlah sokongan 110 sahaja yang dimiliki Ahli Parlimen Pagoh menjadikan Perdana Menteri dan kerajaan PN pimpinannya tidak lagi ada majoriti,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru semalam.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, Perdana Menteri boleh mengadakan sidang khas di Parlimen untuk menentukan sokongan majoriti terhadapnya.
Menurut beliau, sidang khas Parlimen untuk menentukan majoriti bukanlah sesuatu yang asing kerana pernah dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika peristiwa Langkah Sheraton.
“Tun pernah minta sidang khas di Parlimen bagi membuktikan sokongan cuma ditolak Timbalan Speaker, Datuk Mohd. Rashid Hasnon atas sebab-sebab teknikal.
“Perdana Menteri boleh hantar notis kepada saya tetapi itu hak beliau untuk buktikan sokongan majoriti, kalau tidak kerajaan kekal memerintah,” katanya.- UTUSAN










