KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperkenan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat-syarat yang ditetapkan.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung di Istana Negara semalam.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib.
Menurut kenyataan itu, Najib hendaklah mematuhi semua syarat yang ditetapkan dan sekiranya mana-mana syarat tersebut dilanggar, pengampunan berkenaan terbatal serta beliau hendaklah serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib, 73, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 11 September lalu, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Permohonan pengampunan Najib menjadi perhatian selepas dokumen yang didakwa ditandatangani Sultan Iskandar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berhubung keputusan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman di rumah tersebar di media sosial pada 10 September lalu.
Bagaimanapun, Yeoh menafikan kesahihan dokumen berkenaan dan berkata beliau tidak menandatanganinya.
Sementara itu, seorang peguam kanan berkata, pengampunan bersyarat tersebut tidak semestinya bermakna Najib boleh terus keluar dari Penjara Kajang kerana beberapa perkara berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah perlu diperhalusi.
Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk kawalan keselamatan, lawatan dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang menjalani tahanan di rumah.
“Walaupun ditahan di rumah, Najib belum tentu boleh jumpa sesiapa dengan senang atau keluar ke mana-mana. Senang cakap, Najib masih dipenjara, tetapi penjara tersebut adalah rumahnya,” katanya.
Menurut peguam berkenaan, pelaksanaan tahanan di rumah juga memerlukan perincian mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan syarat tambahan yang perlu dipatuhi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengampunan bersyarat terhadap Najib tidak menjejaskan komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata, semua kes rasuah termasuk prosiding yang masih berjalan membabitkan Najib perlu diteruskan mengikut landasan undang-undang.
“Prinsip negara hukum, keputusan kita mengambil tindakan kepada semua kes rasuah tidak tergugat.
“Ini tidak bermakna negara harus tunduk kepada amalan penyakau dan rasuah,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10, Putrajaya, semalam.
Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab memberikan nasihat berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip negara hukum sebelum perkara itu dipertimbangkan.
Bagaimanapun, katanya, Perlembagaan menetapkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong dan keputusan berkenaan perlu diterima.
“Namun akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan saya harap kita terima baik,” katanya. – UTUSAN











