KUALA LUMPUR: Ledakan pembangunan pusat data di Malaysia tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah kapasiti yang dibangunkan, sebaliknya perlu dinilai menerusi sejauh mana pelaburan berkenaan mampu mewujudkan keupayaan, syarikat dan rantaian bekalan tempatan.
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Dr. Guntor Tobeng berkata, Malaysia perlu melihat lebih jauh daripada sekadar menyediakan tanah, bekalan elektrik dan air kepada pengendali pusat data.
Menurut beliau, pelaburan pusat data yang bernilai besar sepatutnya membuka ruang lebih luas kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian nilai tenaga, kejuruteraan dan infrastruktur.
“Ini adalah pelaburan yang sangat besar. Jika kita hanya menyediakan tanah, elektrik dan air, sedangkan sebahagian besar teknologi, kejuruteraan serta perkhidmatan bernilai tinggi datang dari luar, Malaysia hanya memperoleh sebahagian daripada peluang yang ada.
“Justeru, kita perlu memastikan lebih banyak syarikat tempatan terlibat dalam keseluruhan rantaian nilai,” katanya ketika sesi panel pada persidangan Data Centre Nexus (DCN) 2026.
Guntor berkata, antara bidang yang mempunyai potensi untuk diceburi syarikat tempatan termasuk pembangunan tenaga boleh baharu, syarikat kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC), penyedia sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), sistem pengurusan tenaga, perunding kejuruteraan serta operasi dan penyelenggaraan.
Katanya, pengendali pusat data dan syarikat teknologi global atau hyperscaler juga boleh memainkan peranan lebih besar dengan melibatkan syarikat Malaysia sejak peringkat awal pembangunan projek.
“Hyperscaler boleh membawa syarikat tempatan masuk lebih awal, berkongsi keperluan teknikal dan membangunkan piawaian bersama.
“Ini akan membolehkan syarikat tempatan bukan sekadar menjadi kontraktor, tetapi membina kepakaran dan keupayaan yang boleh digunakan untuk projek-projek lain di dalam dan luar negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Tenaga dan Alam Sekitar Princeton Digital Group, Michael Martin berkata, pembangunan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan pusat data perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan pengguna elektrik secara keseluruhan.
Beliau berkata, kos pembangunan infrastruktur tidak seharusnya akhirnya ditanggung oleh rakyat biasa melalui peningkatan kos atau tekanan terhadap sistem tenaga.
Martin turut memberi pandangan bahawa pergantungan sepenuhnya kepada tenaga solar bagi memenuhi permintaan pusat data bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kawasan tanah yang luas selain kapasiti penyimpanan bateri yang besar.
Sebaliknya, katanya, infrastruktur tenaga yang dibangunkan untuk menyokong pusat data perlu memberi manfaat kepada sistem elektrik secara keseluruhan dan bukan hanya memenuhi keperluan sesebuah pusat data.
Beliau turut melihat potensi teknologi baharu termasuk tenaga geoterma termaju sebagai sebahagian daripada campuran tenaga pada masa depan.
Dalam perkembangan sama, pertumbuhan beban kerja kecerdasan buatan (AI) turut mengubah keperluan operasi pusat data, khususnya dari segi penggunaan tenaga dan sistem penyejukan.
Ketua Kejuruteraan Penyelesaian dan Reka Bentuk Asia Pasifik Digital Realty, Wayne Heywood berkata, kepadatan kuasa rak (rack power density) meningkat dengan ketara berbanding sebelum ini.
Katanya, daripada sekitar lima hingga 10 kilowatt (kW) bagi sebuah rak sebelum ini, kepadatan kuasa kini boleh mencecah antara 70 hingga 107kW, khususnya bagi aplikasi berintensifkan AI.
“Kepadatan yang lebih tinggi bermakna keperluan terhadap kuasa, haba dan air turut meningkat. Ini secara langsung mendorong perubahan besar dalam teknologi penyejukan pusat data,” katanya.
Menurut Heywood, teknologi penyejukan cecair terus ke cip (direct-to-chip liquid cooling) dijangka menjadi kaedah utama dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.
Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan iklim tropika Malaysia turut memberikan cabaran tambahan kepada sistem penyejukan dan teknologi berkenaan perlu disesuaikan dengan keadaan tempatan.
Dalam pada itu, Guntor berkata, tenaga solar wajar menjadi asas kepada strategi tenaga boleh baharu bagi menyokong pertumbuhan pusat data di Malaysia.
Namun, katanya, solar perlu digabungkan dengan sistem penyimpanan tenaga bateri, sumber penjanaan lain serta grid bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan.
“Solar perlu menjadi asas, tetapi ia tidak boleh berdiri sendiri. Kita memerlukan gabungan solar, BESS, sumber penjanaan lain dan grid untuk membentuk sistem tenaga yang benar-benar boleh menyokong keperluan pusat data,” katanya.
Ledakan pusat data dijangka terus meningkatkan permintaan terhadap elektrik, tanah, air dan infrastruktur digital. Justeru, cabaran utama Malaysia bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan pusat data, tetapi memastikan limpahan ekonomi daripada pelaburan tersebut turut membina industri tempatan yang lebih berdaya saing.
Jika rantaian bekalan tempatan dapat diperkukuh, pembangunan pusat data berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri tenaga boleh baharu, kejuruteraan, teknologi penyimpanan tenaga, sistem pengurusan tenaga dan perkhidmatan teknikal bernilai tinggi di Malaysia. –UTUSAN










