SEMALAM bermula sesi pembelajaran PdpR iaitu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah oleh hampir 4.5 juta murid.
Begitu juga dua anak saya yang pada tahun ini memasuki tahun 4 dan 6.
Pada sebelah malam, guru-guru kelas telah mula berinteraksi dengan ibu bapa menerusi kumpulan WhatsApp dan Telegram kelas masing-masing.
Antaranya memberi panduan penggunaan medium pengajaran dalam talian seperti aplikasi Google Meet dan Google Classroom (GC).
Walaupun PdPR ini sudah pun mula digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu dan penangguhan sekolah sekali lagi pada 9 November berikutnya, situasi ‘huru-hara’ kaedah PdPR ini masih berlaku.
Apatah lagi PKP 2.0 kali ini ibu bapa kebanyakan bekerja dan hanya mengharapkan anak-anak di rumah untuk mengikuti pembelajaran itu.
Hakikatnya, bukan semua ibu bapa ‘celik IT’ untuk menggunakan kaedah itu. Seperti GC, mereka perlu mengakses melalui portal digital learning Kementerian Pendidikan dan memasukkan ID dan pasword murid yang ditetapkan mengikut sekolah masing-masing.
Segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan disalurkan melalui platform itu.
Itu kalau seorang anak yang ingin diambil perhatian. Bayangkan kalau ada tiga atau empat orang anak yang bersekolah. Semuanya memerlukan gajet. Telefon bimbit pula ada satu. Agak beruntung kalau ada ibu bapa yang mampu menyediakan gajet tambahan.
Jadi tidak hairanlah ibu bapa kelam-kabut. Saluran komunikasi pula bercabang-cabang, mana nak tengok WhatsApp, nak tengok Telegram lagi. Beratus-ratus mesej pertanyaan ibu bapa dalam group. Lagi menggelabah apabila diberitahu penglibatan anak-anak dalam sesi dalam talian ini akan dinilai untuk pentaksiran murid.
Nak dapatkan bahan pembelajaran satu hal, nak mengajar kerja-kerja sekolah yang diberi guru itu pun satu hal lagi. Guru-guru hanya forward latihan dan nota. Ibu bapa pula kena baca dan faham nota-nota subjek. Macam nak masuk sekolah semula.
Memang benar tugas mengajar tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada cikgu semata-mata, ibu bapa pun perlu memainkan peranan. Tetapi perlu diketahui, ibu bapa hanya boleh menjadi pembimbing bukan pengajar kerana mereka tidak ada kemahiran itu.
Saya pasti ramai ibu bapa mempunyai masalah sama. bila dah fed up, maka dibiarkan sahaja anak buat sendiri. Akhirnya mereka tukar channel YouTube tengok gamers, Syafiq Aiman atau Soloz main game.
Walaupun PdPR ini satu bentuk norma baharu, tapi kaedahnya perlu dipermudahkan. Jika tidak matlamatnya tersasar. PdPR dah jadi APTB – Apa Pun Tak Boleh. – UTUSAN ONLINE










