Tulisan ini bertitik-tolak daripada dua faktor. Pertama, merujuk kepada pandangan seorang sarjana dari National University Singapore (NUS), Profesor Dr. Syed Farid Al-Attas dalam satu program wacana, baru-baru ini. Beliau berkata, perlunya ilmu mandiri bagi membebaskan tawanan minda khususnya dalam sesuatu perkara yang diperkenalkan oleh Barat.
Kedua, memperingati sumbangan akademik seorang profesor yang saya hormati, Allahyarham Datuk Dr. Syed Ahmad Hussein yang meninggal dunia, baru-baru ini. Saya sentiasa merujuk tulisan beliau dalam kebanyakan penulisan dan kajian berkaitan politik Muslim dan demokrasi. Al-fatihah.
Sepanjang tempoh kajian mengenai wacana Islam dan demokrasi sejak 20 tahun lalu, saya bertemu jawapan terhadap satu persoalan utama yang sentiasa bermain di minda. Persoalan itu, adakah demokrasi matlamat atau alat? Adakah demokrasi menjadi matlamat akhir atau demokrasi sebenarnya hanyalah alat untuk mencapai satu matlamat yang lebih tinggi, iaitu kedaulatan Islam misalnya?
Persoalan ini semakin relevan apabila wacana demokrasi semakin diperdebatkan. Ahli-ahli politik pula semakin ghairah bercakap atas nama demokrasi untuk mendapatkan sokongan rakyat.
Sehingga timbul istilah democrazy apabila demokrasi itu menjadi kegilaan beberapa pihak tidak bertanggungjawab. Di Malaysia, pernah wujud satu konsep demo kasi, kawe buei yang merujuk kepada usaha membeli undi dan politik wang untuk menang pilihan raya.
Umum mengetahui, demokrasi adalah ciptaan manusia yang kebetulan datang dari blok Barat. Sebagai satu sistem ciptaan manusia, sudah tentu ada kelemahan dan cacat celanya. Namun, sebahagian besar masyarakat dunia menerima demokrasi atas dasar kebebasan dan keadilan yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.
Masyarakat Islam di dunia antara ‘pembeli’ tegar demokrasi. Sistem ini dikatakan paling hampir kepada sistem Islam yang menekankan soal kebebasan dan keadilan. Akan tetapi, masalah timbul apabila sikap taksub segelintir masyarakat Islam menerima konsep demokrasi tanpa sebarang pembetulan. Malah, demokrasi diyakini pula sebagai satu matlamat akhir, bukannya alat untuk kepentingan agama.
Apabila demokrasi itu diterima sebagai satu matlamat, maka berlakulah konflik kepentingan. Akan terjadilah demokrasi tanpa panduan agama dan membelakangi Perlembagaan misalnya, malah melihat demokrasi itu segala-galanya. Lebih mendukacitakan, agama pula perlu disusun atur untuk mewajarkan kelangsungan sebuah demokrasi.
Berbeza dengan menjadikan demokrasi itu alat untuk mencapai matlamat yang lebih utama antaranya kepentingan agama dan soal bersangkutan kepentingan rakyat seperti perpaduan, keselamatan dan keamanan, kita boleh berlaku lebih adil dan lebih rasional.
John L. Esposito, iaitu seorang sarjana yang banyak membincangkan wacana Islam dan demokrasi dalam buku Islam and Democracy menyatakan, demokrasi tidak datang melalui satu wajah.
Malah, ia boleh dijelmakan mengikut suasana dan latar belakang sesuatu tempat. Beliau berpandangan, demokrasi boleh diperdebatkan dan definisi demokrasi bukanlah suatu yang mutlak. Ia boleh berubah dan disesuaikan dengan faktor watan.
PRODUK POPULAR
Justeru, jika ada usaha menyeragamkan fahaman demokrasi tanpa melihat acuan sendiri, inilah yang dikatakan sebagai tawanan minda. Minda kita sudah tertawan dengan fahaman demokrasi dan melihat naratif Barat terhadap demokrasi sebagai satu-satunya yang terbaik dan sempurna.
Apabila Barat mencipta demokrasi, sejak itulah tawanan minda kita berlaku. Soal kebebasan individu dan kesamarataan menjadi produk popular sehingga soal agama dan moral tidak lagi penting sebagai benteng demokrasi. Hasilnya, lahirlah budaya politik songsang tanpa panduan agama dan budaya yang akhirnya merugikan kita.
Persoalannya, mampukah kita meneroka dan mencipta sistem sebaik demokrasi? Apakah untuk membebaskan tawanan minda itu bermaksud kita perlu mencipta satu sistem baharu atau memadai membentuk demokrasi sesuai dengan acuan kita sebagai alat untuk mencapai matlamat lebih utama?
Bagi pandangan saya, pilihan kedua adalah terbaik dan lebih realisitik. Kita perlu membebaskan daripada tawanan minda dalam mendefinisi dan membentuk naratif demokrasi mengikut acuan kita. Dalam konteks di Malaysia, demokrasi hanyalah alat untuk mencapai matlamat lebih besar dan utama seperti kesejahteraan dan perpaduan nasional. Apalah makna sebuah demokrasi jika akhirnya kita mengundang ketidaktenteraman dan ancaman kepada nyawa manusia.
Dalam konteks Islam pula, sudah tentu demokrasi perlu dilihat sebagai alat untuk mendaulatkan kedudukan agama. Sebagai contoh, kita menerima demokrasi sebagai satu kaedah untuk mencari pemimpin yang berpegang kepada ajaran Islam yang syumul untuk kebaikan semua. Kita menyertai demokrasi bagi tujuan memenuhi tuntutan agama, bukan sebaliknya.
Satu kesilapan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita terutama ahli politik adalah melihat demokrasi itu sebagai satu matlamat akhir. Mereka meletakkan demokrasi itu sebagai destinasi akhir dengan membelakangi soal kepentingan agama. Bayangkan ketika berhadapan dengan cabaran penularan Covid-19 sehingga proklamasi darurat diumumkan, ada sebahagian kita masih lagi mahu meletakkan demokrasi dan politik mendahului soal keselamatan insan yang menjadi tuntutan dan maslahah utama dalam agama.
Mengambil ibrah daripada saranan Syed Farid tentang kepentingan ilmu mandiri bagi mengatasi tawanan minda, perlu melihat semula bagaimana penerimaan kita terhadap demokrasi. Saya menyifatkan ilmu mandiri ini seperti ilmu watan atau kearifan tempatan dalam mentafsir demokrasi mengikut acuan sendiri.
Sistem demokrasi untuk diamalkan di negara kita memerlukan proses pembetulan dan penjajaran semula. Kita perlu mencipta ilmu mandiri dengan menilai demokrasi dari kaca mata dan perspektif sendiri. Jika tidak, minda kita akan terus tertawan dengan permainan Barat.
Banyak pihak menyambut baik pelantikan Presiden Amerika Syarikat ke-46, Joe Biden, baru-baru ini. Namun, timbul sedikit kegusaran jika beliau mahu meneruskan amalan neo-conservatism yang mencampuri urusan dalam negara lain untuk mempromosi dan mendoktrin fahaman demokrasi ala Barat sehingga kita tidak ada pilihan.
Apa yang jelas, menjadikan demokrasi satu matlamat akhir adalah bukti berlakunya tawanan minda. Perkara asas yang perlu kita fahami adalah demokrasi hanyalah alat untuk mencapai suatu matlamat lebih besar. Jika tidak mahu menyebut agama sebagai matlamat akhir, memadailah jika kita meletakkan soal perpaduan dan keselamatan insan sebagai matlamat demokrasi yang sememangnya dituntut oleh agama.
Saya telah bertemu jawapan. Anda bagaimana?
PENULIS ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penulis buku Islam dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia.










