Beri sokongan kepada Zahid - Utusan Malaysia

Beri sokongan kepada Zahid

HASAN Rahman menyerahkan surat sokongan kepada Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Ahli dan kepemimpinan parti sepatutnya mengambil iktibar kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkait dengan faktor dalaman yang menggoyahkan kedudukan pada ketika itu.

Justeru, tindakan dalam kalangan pemimpin yang menyuarakan desakan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya berundur bukan langkah bijak dan wajar apatah lagi di celah-celah pandemik Covid-19 yang masih berleluasa.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri berkata, sebagai presiden yang menang dalam pertandingan pemilihan, Ahmad Zahid sepatutnya diberi ruang dan keyakinan untuk terus mengetuai UMNO dengan sokongan semua peringkat.

“Kita semua patut ambil iktibar daripada itu (kekalahan PRU-14), salah satu punca jatuh kerajaan UMNO-BN kerana faktor konflik dalaman seperti ini. Jika masih ada simptom yang mengata presiden begitu begini atau timbalan presiden macam itu macam ini, bagaimana nak menang PRU?

“Akan tiba masanya nanti sampai kepada proses pemilihan parti, ketika itu kita buat pilihan siapa yang patut memimpin parti. Tak molek ketika ini sudah mendesak berundur dan sebagainya ketika parti pernah berdepan kekalahan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sekiranya ada kekurangan terhadap presiden sekali pun, maka wajib kepada timbalan presiden, naib-naib presiden dan seluruh kepemimpinan serta sayap UMNO perlu melengkapkan perkara itu.

“Memang dalam UMNO kita meraikan perbezaan pendapat tetapi dari satu sudut kita ada platform untuk menyuarakan sebarang isu atau masalah dan bukannya melalui kenyataan terbuka yang memberi kesan kepada parti di seluruh negara,” ujarnya.

Terdahulu, isu mendesak Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk timbul apabila Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang menyarankan Presiden ‘berehat’ dan kepemimpinan lain memberi ruang kepada generasi baharu untuk memimpin parti.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, mana-mana pemimpin atau ahli UMNO yang mendesak Ahmad Zahid berundur boleh dianggap sebagai ‘petualang’.

Beliau berkata, mereka yang menjadi petualang sebenarnya sudah termakan hasutan pihak luar yang cuba memecah-belahkan institusi perjuangan UMNO.

Katanya, berdasarkan suasana politik semasa yang sukar dijangka, para pemimpin dan ahli harus menjunjung konsep wala’ dalam perjuangan.

“Bagi saya, mereka dalam kalangan ahli parti yang mendesak Ahmad Zahid berundur seharusnya lebih beradab dan ada ketetapan hati dengan menjunjung konsep wala’.

“Sepatutnya, kita sebagai ahli UMNO merapatkan saf perjuangan dalam memperkukuh dan mengembalikan kegemilangan UMNO dan bukan cuba menghancurkan parti keramat ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai itu menambah, polemik politik murahan itu perlu dihentikan segera kerana ia menggugat keutuhan parti. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN