80,000 hektar kawasan hutan dapat dipulihara menjelang 2025 - PM - Utusan Malaysia

80,000 hektar kawasan hutan dapat dipulihara menjelang 2025 – PM

TANGKAP layar dari TV1 RTM memaparkan Muhyiddin Yassin (kanan) menanam pokok pertama bagi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025) dianggarkan dapat meningkatkan pemuliharaan kawasan hutan  sebanyak 20,000 hingga 80,000 hektar menjelang tahun 2025 bergantung kepada jarak penanaman.

Perdana Menteri berkata, penilaian yang dibuat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) turut menjangkakan kempen berkenaan mampu menyumbang kepada penyerapan karbon dioksida di antara 30 juta tan di kawasan bandar hingga 85 juta tan di kawasan hutan dan lain-lain dalam setahun. 

Menurut beliau, kempen itu adalah sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia, iaitu salah satu daripada agenda nasional bagi perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

 “Program ini juga akan memulihara kepelbagaian biologi yang merupakan khazanah negara yang tidak ternilai, meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi dan sungai. 

“Program Penghijauan Malaysia juga adalah satu ikrar dan komitmen kerajaan yang berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama untuk menyumbang kepada masa hadapan yang lebih hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena pelancaran kempen itu serta aplikasi mudah alih dan laman web khas Program Penghijauan Malaysia (www.100jutapokok.gov.my) di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. 

Majlis berkenaan turut dilancarkan secara serentak di seluruh negara dengan tema ‘Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita’ atau ‘Greening Malaysia: Our Trees, Our Life’.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menanam pokok pertama iaitu Pokok Kebangsaan Merbau sebagai simbolik menjayakan kempen itu yang meletakkan sasaran 100 juta batang pokok kayu dan berdaun hijau ditanam dalam tempoh lima tahun.  

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kempen anjuran Kementerian Tenaga dan Sumber Asli itu antara lain bertujuan mempertahankan kekayaan alam semulajadi negara dalam semua aktiviti pembangunan sosioekonomi.

Kata beliau, ini termasuk mengekalkan pengiktirafan ke atas Malaysia sebagai antara 12 buah negara megadiverse yang akan digerakkan melalui JPSM, jabatan-jabatan perhutanan negeri, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan kerajaan negeri dengan mensasarkan penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

Sehingga kini,  katanya, Malaysia berjaya mencatatkan litupan hutan sebanyak 55.3 peratus, selari dengan komitmen negara di Sidang kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 iaitu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan.

“Kerajaan berharap agar semua lapisan masyarakat termasuk syarikat serta badan korporat dapat menyokong agenda nasional ini. Mulakan azam tahun baharu 2021 dengan bersama-sama menghijaukan bumi Malaysia!” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya