3 bulan berpisah, Adik dipercayai mati didera - Utusan Malaysia

3 bulan berpisah, Adik dipercayai mati didera

NORLIDA Abu Hassan tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan mengenai anak angkatnya yang ditemukan mati dalam tong air di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka. MINGGUAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas kira-kira tiga bulan diambil semula oleh ibu kandung daripada jagaan keluarga angkat, kehidupan seorang kanak-kanak lelaki berakhir tragedi apabila dia meninggal dunia dipercayai kerana didera.

Mangsa yang berusia tujuh tahun menghembuskan nafas terakhir dengan kesan lebam dan kecederaan di badan di rumah keluarganya di Taman Krubong Jaya di sini, kelmarin.

Dia yang dipanggil dengan gelaran ‘Adik’ oleh ibu angkatnya dipercayai didera ibu kandung dan ayah tirinya.

Ketika ditemui Mingguan Malaysia, ibu angkat kanak-kanak itu, Norlida Abu Hassan, 50, berkata, sebelum ini Adik dijaganya sejak berusia dua bulan berikutan ibu kandungnya tidak dapat memberikan komitmen untuk membesarkannya.

Namun, jelasnya, pada Oktober tahun lalu, ibu kandung kanak-kanak itu secara tiba-tiba mahu mengambil semula anaknya.

Sebelum itu, dakwanya, ketika masih bayi, Adik sering ditinggalkan di surau sebuah institusi pengajian tinggi di sini, dipercayai tempat ibu kandungnya bekerja.

“Saya dimaklumkan oleh anak saya mengenai kejadian malang yang menimpa bayi itu dan membuat keputusan untuk menerimanya sebagai anak angkat.

“Luluh hati saya apabila melihat keadaannya yang tidak terurus pada ketika itu. Saya terimanya dengan hati yang terbuka dan bersyukur kerana ini adalah rezeki daripada Allah SWT untuk keluarga kami,” katanya sambil mengalirkan air mata ketika ditemui di Taman Seri Jati, Batu Berendam di sini.

Terdahulu, kematian Adik dilaporkan oleh bapa tirinya dengan mendakwa mangsa meninggal dunia akibat lemas di dalam tong air di rumah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, sepasukan polis ke lokasi dan pemeriksaan pada badan mangsa terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera.

Berikutan itu, sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut yang dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Mohd. Anuar Ostadi di sini.

Pasangan yang juga ibu kandung dan bapa tiri mangsa masing-masing berusia 32 serta 38 tahun itu ditahan pukul 4 petang kelmarin di rumah mereka.

Dalam pada itu, Norlida, Adik menjadi sinar baharu dalam keluarganya dan dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

“Saya berhubung dengan ibu kandungnya bagi mendapatkan maklumat bagi urusan dokumentasi untuk mendatarkan Adik ke sekolah.

“Bagaimanapun, dia menyuarakan hasrat untuk menjaga Adik dan saya terpaksa merelakannya kerana pada waktu itu apa yang fikirkan adalah hati dan naluri seorang ibu merindukan anaknya,” katanya.

Mengulas lanjut, ibu kepada lima anak itu berkata, selepas bertukar penjaga, dia sukar berhubung dengan mangsa dan kali terakhir berjumpa adalah di Rawang, Selangor, baru-baru ini.

“Kebetulan ayah tirinya menghantar sayur di Rawang, jadi dia bawa saya berjumpa dengan Adik.

“Adik kata dia rindu umi (saya), semua dia rindu tapi Adik kena tinggal dengan mama (ibu kandung),” ujarnya menahan sebak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN