Wang pampasan bukan harta pusaka - Utusan Malaysia

Wang pampasan bukan harta pusaka

PROSES pengurusan pusaka menjadi semakin rumit apabila berlaku pertelingkahan antara waris dan tiada persefahaman menyebabkan pentadbiran harta tidak dapat diteruskan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Wang pampasan kematian pekerja yang dianugerahkan kerajaan atau syarikat swasta tidak dikategorikan sebagai harta pusaka.

Ini termasuk wang pampasan melalui tuntutan mahkamah selain wang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan seumpamanya sebagaimana diputuskan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dalam Muzakarah kali ke-49 pada 19 September 2000.

Memetik artikel Al-Kafi li al-Fatawi dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara juga memutuskan pampasan yang dibayar itu adalah berdasarkan konsep hibah dan pembayaran manfaat takaful tidak akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka serta tidak tertakluk kepada hutang peserta takaful yang meninggal dunia.

“Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa wang pampasan yang hendak diberikan oleh pihak syarikat kepada pekerja syarikatnya yang meninggal dunia bukanlah pusaka yang diwajibkan pembahagian secara faraid,” jelas tulisan berkenaan.

Artikel itu juga memberitahu, pihak syarikat berhak untuk memberikan wang pampasan tersebut mengikut cara dan kepada siapa yang difikirkan layak.

Katanya, sekiranya terdapat perjanjian antara pekerja dan pihak syarikat berhubung penama atau waris yang akan menerima pampasan tersebut, maka hendaklah dihormati perjanjian tersebut dan diberikan kepada penama.

Tambahnya, sekiranya penama atau waris itu enggan menerima dan mencadangkan nama orang lain, pihak syarikat sewajarnya mengambil kira dan menghormati cadangan tersebut dengan memberikan wang tersebut kepada nama yang dicadangkan.

Baru-baru ini, pelakon dan pelawak popular, A R Badul meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada media apabila dia dinafikan hak ke atas harta peninggalan anaknya, Allahyarham Mejar Mohd. Zahir Armaya yang maut ketika melakukan demonstrasi keupayaan di Kem Kok Lawi, Sabah pada 4 September 2019.

Bagaimanapun, isteri arwah, Nour Shafinar Harun menjelaskan, Allahyarham tiada sebarang harta dan sudah diisytihar muflis bagi menjawab tuduhan kerana menafikan hak bapa mentuanya, A R Badul dalam kes pembahagian harta.

Jelas Shafinar, mengenai insurans kelompok yang diterimanya, dia mengakui sudah menerimanya namun buat masa ini dia masih belum memberikannya kepada pihak bapa mentuanya lagi.

Dia turut difahamkan yang wajib faraidkan adalah caruman arwah dan bukan ganjaran. _UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN