KUALA LUMPUR: Telah wujud satu persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) agar saling menyokong dan tidak bertembung dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mendedahkan perkara itu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, konsensus mengenainya dibincangkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika bertemu untuk menyelesaikan konflik Menteri Besar baharu di Perak.
Annuar berkata, rundingan agihan kerusi juga mendapat persetujuan untuk dipercepatkan yang mana ketiga-tiga setiausaha agung diberi mandat dalam merangka kaedah untuk memuktamadkannya.
“Secara kasarnya pada hujung minggu ini atau awal minggu depan, kita harap ketiga-tiga parti dapat menetapkan satu tarikh bagi sambungan pada proses rundingan itu.
“Yang pentingnya ada satu persefahaman supaya BN dan PN saling support (sokong) satu sama lain dan tidak akan bertanding sesama sendiri supaya kita boleh berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH) secara satu lawan satu,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, sesi dialog bersama media yang julung kali diadakan Pas semalam membayangkan ketiga-tiga komponen parti Melayu di bawah Muafakat Nasional (MN) dan PN masih kabur menetapkan kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15.
Malah, Pas seakan-akan tidak pasti berhubung kedudukan parti itu ketika diasak dengan soalan oleh media.
Dalam pada itu, Annuar berkata, UMNO dan Pas yang mempunyai ikatan politik melalui Piagam MN telah menetapkan kaedah pembahagian kerusi melalui dua siri perundingan jawatankuasa.
“Memang memakan masa tak boleh sekali mesyuarat, dua kali mesyuarat jadi sememangnya telah dua kali jawatankuasa berkenaan bermesyuarat dan secara kasarnya. Kita sudah ada satu persefahaman kaedah-kaedah pembahagian tidak bertindih ataupun kita tidak bertanding di kawasan yang sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










