Jerman dijangka mudah atasi Curacao

Jerman dijangka mudah atasi Curacao

SKUAD Jerman dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Curacao dalam aksi pembukaan di Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOSTON: Atas kertas Jerman dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan E berdepan Curacao, awal pagi esok.

Berdasarkan kualiti antara kedua-dua pasukan, skuad Die Mannschaft memiliki pemain lebih berpengalaman dan berkualiti berbanding Curacao yang rata-rata beraksi di Belanda atau liga bawahan Eropah.

Juara dunia empat kali itu, bukan sahaja turun dengan misi melakar kemenangan pertama, malah mahu memulihkan reputasi di pentas antarabangsa selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada dua edisi terdahulu.

Meskipun tidak dianggap antara pilihan utama untuk menjulang trofi kali ini, skuad kendalian Julian Nagelsmann tetap memasang impian memburu gelaran dunia kelima.

Anak buah Nagelsmann hadir dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatat sembilan kemenangan berturut-turut

Mereka membelasah Finland 4-0 dalam aksi persahabatan pada 31 Mei lalu serta menewaskan salah satu tuan rumah kejohanan, Amerika Syarikat, 2-1 minggu lalu.

“Kami bukan antara calon utama, mungkin ada tiga atau empat pasukan lain yang lebih menjadi pilihan. Namun kami tahu betapa pentingnya memulakan kejohanan dengan kemenangan.

“Kami mahu muncul juara kumpulan dan meneruskan momentum itu ke pusingan kalah mati. Tiada perbincangan mengenai perkara lain, itulah sasaran kami.

“Dua kemenangan dalam aksi persahabatan terakhir memberikan keyakinan kepada kami dan kami mahu mengekalkannya di sini,” kata Nagelsmann.

Turut berada dalam kumpulan E adalah Ecuador dan Ivory Coast, sekali gus menyaksikan Jerman menjadi pasukan pilihan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, jurulatih berpengalaman Curacao, Dick Advocaat, tetap teruja untuk memulakan kempen menentang gergasi Eropah itu di Piala Dunia pertama pasukannya.

“Jerman sememangnya pasukan pilihan dalam kumpulan ini. Mereka masih sebuah kuasa besar bola sepak dunia. Mereka mempunyai deretan pemain-pemain yang berpengalaman berbanding kami.

“Memulakan kejohanan menentang Jerman adalah sesuatu yang hebat. Kami akan mengetahui tahap sebenar kami sebaik sahaja perlawanan bermula,” ujarnya.

Advocaat, 78, bakal menjadi jurulatih tertua dalam sejarah Piala Dunia dan mengakui wujud jurang kualiti yang besar antara kedua-dua pasukan.

Rekod itu mula dipegang pengendali Afrika Selatan, Hugo Broos, yang berusia 74 tahun ketika menentang Mexico sebelum diatasi beberapa jam kemudian oleh pengendali Republik Czech, Miroslav Koubek, yang juga berusia 74 tahun tetapi lebih tua beberapa bulan.

Advocaat mengambil alih Curacao pada Januari 2024 dan membimbing pasukan itu menjaringkan 28 gol dalam 10 perlawanan kelayakan, jumlah tertinggi dalam kalangan pasukan CONCACAF.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN