LTTE masih disenarai kumpulan pengganas -  Hamzah - Utusan Malaysia

LTTE masih disenarai kumpulan pengganas –  Hamzah

HAMZAH Zainuddin menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Felda Ijok, Selama hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Polis akan memastikan semua kumpulan pengganas yang masih wujud di negara ini dihapuskan terutama kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang mengugut mahu menembak mati Ketua Polis Negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, polis akan menentang habis-habisan kumpulan berkenaan berikutan tindakan mereka yang semakin  berani sehingga mengugut pasukan keselamatan.

Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) untuk menentang kumpulan pengganas yang ada di negara ini.

Dalam masa sama, Hamzah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhati-hati dalam usaha menghapuskan kumpulan berkenaan yang masih tersenarai sebagai kumpulan pengganas di negara ini.

“Kalau mereka rasa mereka bebas  melakukan apa sahaja, saya juga nak maklumkan kita masih ada lagi senarai yang akan kita maklumkan bahawa mereka ini masih lagi tersenarai sebagai kumpulan pengganas dalam negara kita.

“Kita akan serang mereka habis-habisan kerana berani mengugut kita.

“Kita akan pastikan kumpulan ini sekali lagi akan ditangkap dan dihapuskan daripada sewenang-wenangnya melakukan segala apa yang mereka mahu lakukan dalam negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memberi sumbangan kepada 146 mangsa banjir di Felda Ijok di sini hari ini.

Hamzah meminta rakyat agar tidak bimbang dengan ugutan kumpulan pengganas berkenaan.

“Negara masih ada undang-undang dan polis masih berada di seluruh negara,” katanya.

Beliau mengulas ugutan untuk menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ketua komander kumpulan pengganas LTTE dua hari lalu.

Selain itu, suspek berkenaan juga mendakwa dia akan menyerang Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan.

Suspek berkenaan menghantar ugutan menerusi e-mel kepada media berhubung hasratnya dan lelaki itu kini sedang dikesan untuk ditangkap  polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya