Ramai pengguna kosmetik cenderung menyimpan produk solekan dalam tempoh yang lama, terutama apabila produk tersebut masih berbaki atau jarang digunakan.
Namun, amalan itu boleh mengundang risiko kepada kesihatan kulit dan mata sekiranya produk berkenaan telah melepasi tarikh luput atau digunakan terlalu lama selepas dibuka.
Pakar dermatologi, Dr. How Kang Nien berkata, penggunaan produk kosmetik yang sudah melepasi tempoh penggunaan boleh menyebabkan pelbagai masalah kulit termasuk iritasi, kemerahan, kegatalan, jerawat, alahan dan dalam sesetengah kes, jangkitan kulit.
Keadaan itu berlaku apabila bahan aktif dalam produk mula rosak manakala keberkesanan bahan pengawet semakin berkurangan, sekali gus membolehkan bakteria atau kulat membiak dalam produk berkenaan.
Ramai pengguna hanya melihat tarikh luput pada bungkusan, tetapi sebenarnya terdapat beberapa tanda lain yang menunjukkan sesuatu produk sudah tidak selamat digunakan.
Antaranya, perubahan bau, warna, tekstur, produk menjadi berketul, terlalu cair atau lapisan produk terpisah.
“Bakteria dan kulat tidak semestinya dapat dilihat dengan mata kasar. Oleh itu, sesuatu produk tidak semestinya selamat digunakan walaupun kelihatan normal dari segi rupa dan tekstur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Boleh menyebabkan jerawat
Katanya, penggunaan produk solekan yang telah lama disimpan atau melepasi tempoh penggunaan boleh menyebabkan jerawat yang lebih teruk, selain meningkatkan risiko folikulitis serta jangkitan kulit, terutama digunakan pada kulit yang mempunyai luka atau masalah jerawat aktif.
Bahagian mata merupakan kawasan yang paling berisiko terjejas akibat penggunaan kosmetik yang sudah rosak kerana kulit di sekitarnya sangat nipis dan sensitif.
Produk seperti maskara, eyeliner dan pembayang mata yang digunakan melebihi tempoh disyorkan boleh menyebabkan iritasi mata, konjunktivitis serta jangkitan pada mata.
Selain mata, bibir juga berisiko mengalami iritasi kerana sebahagian kecil produk bibir seperti gincu atau lip gloss boleh tertelan semasa digunakan.
Maskara dan foundation adalah antara produk yang mempunyai jangka hayat lebih pendek berbanding kosmetik lain.
Maskara mudah tercemar kerana aplikatornya sentiasa keluar masuk dari tiub dan digunakan berhampiran mata,
Bedak asas pula, terutamanya yang berasaskan cecair atau krim, mengandungi kandungan air yang lebih tinggi dan mudah menjadi medium pembiakan bakteria
Golongan yang mempunyai kulit sensitif atau mengalami ekzema juga perlu lebih berhati-hati kerana mereka lebih mudah mengalami kemerahan, kegatalan, kulit mengelupas dan flare-up apabila menggunakan produk yang sudah tercemar atau rosak.
“Walaupun seseorang itu tidak pernah mengalami masalah dengan sesuatu produk sebelum ini, reaksi alahan masih boleh berlaku apabila produk tersebut sudah lama disimpan.
“Bahan kimia, pewangi dan pengawet dalam produk boleh berubah dari semasa ke semasa dan mencetuskan contact dermatitis atau reaksi alahan,” jelasnya.
Faktor penyimpanan
Dr. Kang Nien berkata, cara penyimpanan produk kosmetik memainkan peranan penting dalam menentukan jangka hayat dan tahap keselamatannya untuk digunakan.
Produk yang disimpan di tempat panas dan lembap lebih cepat rosak kerana haba boleh menjejaskan kestabilan formula produk serta mempercepatkan pertumbuhan mikroorganisma.
Sekiranya seseorang mengalami kemerahan, kegatalan atau bengkak selepas menggunakan kosmetik yang disyaki sudah rosak, mereka disarankan menghentikan penggunaan serta-merta dan membersihkan wajah menggunakan pencuci yang lembut.
“Elakkan menggunakan produk solekan lain buat sementara waktu dan gunakan pelembap yang sesuai untuk menenangkan kulit. Jika gejala semakin teruk, bernanah, melibatkan mata atau tidak menunjukkan tanda pemulihan, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menyimpan kosmetik di tempat yang sejuk dan kering, jauh daripada pendedahan cahaya matahari secara langsung.
Selain itu, penutup produk perlu sentiasa ditutup rapat selepas digunakan bagi mengurangkan risiko pencemaran.
Ujarnya, pengguna juga disarankan supaya tidak berkongsi produk peribadi seperti maskara dan gincu serta memastikan berus dan span solekan dibersihkan secara berkala.
Dalam pada itu, pengguna digalakkan menyemak simbol Period After Opening (PAO) seperti 6M atau 12M yang menunjukkan tempoh penggunaan selamat selepas produk dibuka.
“Jangan membeli terlalu banyak produk semata-mata mengikut trend. Beli mengikut keperluan dan labelkan tarikh produk dibuka supaya mudah dipantau. Kesihatan kulit lebih penting daripada rasa sayang untuk membuang produk lama,” katanya.
Beliau menegaskan solekan bukan sekadar berkaitan kecantikan, tetapi juga aspek keselamatan kulit.
Sekiranya terdapat keraguan terhadap sesuatu produk, langkah paling selamat ialah berhenti menggunakannya dan menggantikannya dengan produk baharu.










