Kursus kahwin pun boleh online - Utusan Malaysia

Kursus kahwin pun boleh online

Bukan sahaja majlis pernikahan diadakan dalam norma baharu, bakal suami isteri juga kini boleh mengikuti kursus praperkahwinan secara dalam talian. – gambar hiasan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkahwinan adalah tuntutan fitrah untuk meneruskan kelangsungan zuriat manusia. Malah dalam Islam, perkahwinan menjadi tuntutan sunnah untuk memelihara kesucian keturunan manusia, mengeratkan hubungan persaudaraan dan pada masa sama jalan pencegahan kebobrokan sosial. Tuntutan sunnah ini jelas dapat kita fahami melalui sabda Rasulullah SAW: “Nikah itu sunnahku, maka sesiapa yang tidak beramal dengan sunnahku bukanlah dia daripada golonganku.” (Riwayat Ibnu Majah). Setiap pasangan yang merancang untuk mendirikan rumah tangga mengidamkan kebahagiaan. Bagi memenuhi saranan Rasulullah dan memenuhi idaman kebahagiaan setiap pasangan, maka kursus perkahwinan diperkenalkan.

Kursus praperkahwinan sangat sinonim dan sering menjadi bualan bagi seseorang yang ingin menamatkan zaman bujang mereka dan merupakan salah satu checklist utama dalam pengurusan perkahwinan.

Mengapa kursus praperkahwinan penting? Kursus ini adalah platform untuk memberi pendedahan asas kepada bakal pengantin yang diterjemahkan dalam sebuah modul dikenali sebagai Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI). Modul ini mengandungi topik prosedur perkahwinan, kemahiran pengurusan rumah tangga, penyelesaian konflik perkahwinan, pengurusan kewangan dan isu-isu kesihatan. Berdasarkan kepada kandungan modul ini, ia sekali gus menjawab tulisan nakal mendakwa kursus perkahwinan hanyalah sembang lucah penceramah.

Kepentingan kursus ini terserlah apabila masih ramai individu Muslim yang tidak mempunyai asas kukuh mengenai ilmu kekeluargaan dan pengurusan rumah tangga. Kelemahan ini menjadi faktor yang boleh mempengaruhi sedikit sebanyak punca berlakunya penceraian.

Statistik kes perceraian orang Islam yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan pada 2019 adalah agak tinggi iaitu sebanyak 45,502 di seluruh negara. Statistik permohonan Tribunal Perkahwinan pula sejak 2013 hingga Mei 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menunjukkan antara punca perceraian yang dikenal pasti ialah tiada persefahaman antara pasangan, masalah kewangan (17,359 kes), kewujudan orang ketiga termasuk mentua (6,574 kes) dan penderaan fizikal dan mental (4,884 kes). Punca tekanan dalam sesebuah perkahwinan berpunca daripada kegagalan kedua-dua suami dan isteri menguruskan rumahtangga dengan baik. Justeru, kursus praperkahwinan untuk orang Islam di Malaysia diwajibkan bagi membantu dan membimbing bakal-bakal pengantin membuat persiapan bagi membina rumahtangga yang harmoni dan sejahtera.

Kursus wajib ini dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) kepada semua pasangan yang ingin berkahwin sejak 1997 sehingga kini. Penyampaian Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) diperkenalkan menerusi kursus yang dianjurkan oleh penganjur selama dua hari berturut-turut dengan memenuhi jumlah jam ditetapkan iaitu 13 jam sepenuhnya. Tetapi melihat kepada penggunaan teknologi yang semakin berkembang dalam kehidupan masyarakat pada masa kini dalam mendepani era Revolusi Industri (IR) 4.0, kursus praperkahwinan Islam dilihat perlu untuk dilaksanakan secara dalam talian supaya boleh diakses dengan mudah, pantas, cekap dan lebih meluas.

Penularan wabak Covid-19 turut memberi kesan kepada perkembangan pelaksanaannya. Sebahagian negeri yang tidak bersedia melaksanakan secara video conference (VC) melalui aplikasi dalam talian seperti Google Meet, webinar dan Zoom mengakibatkan pelaksanaan kursus ini ditangguhkan.

Bagi mendepani isu ini, Jakim mengedarkan satu Garis Panduan Pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam ketika pandemik Covid19 dengan memberi kelonggaran kepada JAIN untuk melaksanakannya dengan memendekkan masa kursus atau dilaksanakan secara dalam talian.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui syarikat penganjur swasta yang menerima permit penganjur telah melaksanakan kursus ini secara dalam talian. Begitu juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang turut melaksanakan kursus ini secara maya. Malah pelaksanaan kursus ini secara dalam talian menerima penyertaan memberangsangkan. Bagi memastikan kelangsungan penyampaian ilmu dan pengetahuan kepada pasangan yang ingin berkahwin, pelaksanaan kursus dalam talian perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan permohonan berkahwin yang telah ditetapkan mengikut prosedur.

Keperluan kursus secara dalam talian ini bertujuan mewujudkan sistem penyampaian perkhidmatan pengurusan nikah yang lebih cekap dan menepati kehendak era penyampaian maklumat tanpa sempadan serta sebagai alternatif kepada kaedah pelaksanaan kursus secara fizikal sedia ada. Ia juga sebagai kaedah pembelajaran yang lebih bersistematik dan bersesuaian terutama kepada kumpulan sasar seperti golongan orang kurang upaya (OKU), pelajar yang sedang mengikuti pengajian di luar negara dan individu yang mempunyai kekangan masa untuk hadir ke pusat kursus.

Cara ini memudahkan peserta untuk mengikuti kursus praperkahwinan Islam tanpa perlu bersemuka di pusat kursus. Kursus ini dijangka mampu meningkatkan kefahaman peserta melalui pembelajaran secara interaktif yang lebih menarik bersama soalan-soalan kuiz ketika pembelajaran berlangsung.

DR. Lokman Ab. Rahman ialah Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN