Keputusan cabar peruntukan undang-undang Syariah ditangguh - Utusan Malaysia

Keputusan cabar peruntukan undang-undang Syariah ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini semalam menangguhkan keputusan permohonan seorang lelaki yang mencabar keperlembagaan peruntukan dalam undang-undang Syariah
Selangor yang digunakan untuk mendakwanya atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan hakim bersidang menetapkan keputusan pada satu tarikh lain yang akan dimaklumkan selepas
mendengar penghujahan pihak pempetisyen dan responden.

Tengku Maimun bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak,
Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Yang turut bersidang, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh, Datuk P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri
Hasnah Mohammed Hashim.

Pada 28 November tahun lalu, lelaki berusia 35 tahun itu memfailkan usul untuk mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang digunakan untuk mendakwanya.

Pempetisyen mendakwa Seksyen 28 iaitu melibatkan kesalahan seks luar tabii tersenarai dalam Senarai Persekutuan iaitu di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Beliau mendakwa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor telah melangkaui Senarai Persekutuan dengan penggubalanan undang-undang yang sudah tersenarai dalam senarai itu.

Lelaki itu memohon agar mahkamah tertinggi negara mengisytiharkan Seksyen 28 sebagai tidak sah kerana Dewan Undangan Negeri Selangor tiada bidang kuasa meluluskan peruntukan
tersebut.

Pada 21 Ogos tahun lalu, Ketua Pendakwa Syarie memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 28 di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Pemohon mengaku tidak bersalah selepas dituduh cuba melakukan persetubuhan luar tabii dengan lelaki lain di dalam sebuah rumah di negeri itu pada 9 November 2018. Perbicaraan ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili pempetisyen berhujah agar panel itu menentukan sejauh mana Badan Perundangan Negeri Selangor mempunyai kuasa
menggubal undang-undang jenayah Islam kerana syarat penting adalah negeri tidak boleh menggubal undang-undang yang terdapat dalam Senarai Persekutuan.

Bagaimanpun, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Datuk Salim Soib berhujah, pempetisyen boleh didakwa di bawah Seksyen 28 kerana peruntukan itu sah dan hanya terpakai kepada umat Islam di Selangor iaitu kesalahan yang berkaitan perlanggaran hukum syarak.

Beliau berhujah, Seksyen 28 yang meliputi kesalahan seks luar tabii lebih luas intepretasinya berbanding Seksyen 377.

Sementara itu, peguam Halimatunsa’diah Abu Ahmad bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Abdul Rahim Sinwan yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
(MAIWP) sependapat dengan hujah kerajaan negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya