Kemelut politik Perak jangkiti negeri lain? - Utusan Malaysia

Kemelut politik Perak jangkiti negeri lain?

MOHD. RAFIQ NAIZAMOHIDEEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kemelut politik Perak sehingga Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti mungkin merebak ke beberapa negeri lain yang dibentuk oleh parti politik dalam Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, tsunami politik tersebut tidak mustahil menggoyahkan kerajaan Persekutuan yang kini ditadbir bersama-sama antara parti itu bersama UMNO dan Pas.

“Akibat daripada cetusan kemelut ini, tsunami politik sama berisiko melanda kerajaan negeri Johor, Sabah dan beberapa negeri lain termasuk Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan ini didirikan hasil kerjasama semua parti-parti politik terlibat.

“Walhal, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi jaminan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera sebaik sahaja pandemik Covid-19 pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka mengulas kegagalan Ahmad Faizal mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu dalam undi usul percaya terhadap beliau hari ini.

Dalam undian daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Mohd. Rafiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, usaha digerakkan pihak tertentu tersebut seolah-olah menggambarkan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’­aya­tuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak dipedulikan.

“Ketika Covid-19 meragut ratusan nyawa dan menjangkiti ribuan rakyat Malaysia setiap hari, masih ada pemimpin dan parti politik tidak henti-henti berusaha untuk menjatuhkan kerajaan PN dibawah Tan Sri (Muhyiddin) dan kini kerajaan PN Perak pimpinan Ahmad Faizal (menjadi mangsa) dengan pelbagai cara dan tipu muslihat.

“Nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk semua pemimpin dan parti politik menghentikan kemelut politik nampaknya tidak dipedulikan dan diketepikan,” tegasnya.

Tambahnya, beliau yakin rakyat bijak membuat penilaian dan sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing hanya akan merugikan negara.

“Insha-Allah, rakyat akan menghukum parti dan individu yang meletakkan kepentingan politik, jawatan dan parti masing-masing melebihi nyawa, kesihatan, keselamatan dan ekonomi rakyat yang kini terancam akibat pandemik Covid-19,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya