KUANTAN: “Saya tidak ada menafikan ataupun menyentuh soal tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap dua anak saya.
“Tetapi, apa saya bangkitkan adalah hak dua anak lelaki Mejar Mohd. Zahir Armaya terhadap insurans kelompok milik Allahyarham.”
Demikian luah bekas isteri Mejar Mohd. Zahir, Jamilah Ismail, 38, yang turut memaklumkan dua anak lelakinya, Mohamad Remy Iskandar, 9, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 10, telah menerima bayaran ganjaran dan pencen.
Jumlah dan perkara itu sama seperti dijelaskan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Datuk Dzulkarnain Ahmad.
Bayaran sekali bayar bagi ganjaran terbitan dan FGCR kepada dua anak bekas isteri pertama dilaksanakan pada Oktober 2019 berjumlah RM32,923.28.
“Apabila pemberita tanya, saya maklumkan anak saya terima pencen dan imbuhan daripada ATM, cuma saya tidak maklumkan jumlahnya.
“Saya rasa ia bukan isu kerana saya tidak bangkitkan soal itu, tidak mendapat pembelaan yang saya maksudkan adalah hak anak saya dari sudut duit sumbangan yang diterima termasuk insurans kelompok, itu saya bersuara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Jamilah berkata, dia berterima kasih kepada ATM kerana menjelaskan bayaran ganjaran terbitan termasuk pencen tersebut.
Menurutnya, dia akan terus bersuara demi memastikan hak dua anak lelaki sebagai anak Allahyarham terbela.
“Ini bukan soal saya dengan ATM, tetapi balu arwah, jika anak balu dengan arwah dan dua lagi anak balu bersama lelaki lain mendapat hak mereka, dua anak saya juga patut layak,” katanya. – UTUSAN










