SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan perbincangan dengan semua agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan isu kenderaan berat membawa lebih muatan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir. Izham Hashim berkata, faktor itu dikesan antara punca utama kerosakan jalan raya yang berlubang dan boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna.
Katanya, masalah jalan berlubang itu bukan perkara baharu dan ribuan aduan mengenainya diterima setiap bulan.
“Kerosakan jalan antaranya berpunca kenderaan berat lebih muatan yang terlalu banyak dan berleluasa.
“Masalah seumpama itu sepatutnya perlu diuruskan JPJ dan polis. Saya akan berbincang dengan JPJ dan agensi-agensi berkaitan isu kenderaan berat tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan jalan raya yang rosak, bertampal, tidak rata dan bertakung antara situasi yang dihadapi pengguna termasuk kemungkinan besar terlibat kemalangan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilaporkan mengalami kecederaan selepas basikal ditunggangnya melanggar lubang dalam kejadian di Seri Cheeding, Banting, Ahad lalu.
Mengulas lanjut, Izham berkata, jalan yang terlalu uzur dan tidak dinaik taraf juga antara punca utama isu itu.
“Langkah menampal jalan yang kerosakan strukturnya tidak bertahan lama. Selain itu, kerja korekan jalan oleh pihak utiliti yang gagal ditampal dengan baik menjadi punca kerosakan jalan kerap berlaku,” katanya.

KEADAAN jalan rosak dan berlubang di Jalan Meru, Klang, Selangor. – UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya negeri memaklumkan kerja turapan bukan perkara mudah dan perlu penambahbaikan yang menyeluruh berdasarkan punca kerosakan serta struktur tanah setempat.
Jurutera Daerah Klang, Ir.Syaharidanisman Mohd.Johanis berkata, punca kerosakan jalan di sekitar daerah Klang adalah disebabkan oleh kenderaan berat terutama melibatkan aktiviti pelabuhan, perindustrian dan pemajuan sesuatu kawasan.
“Kerosakan jalan disumbang jumlah kenderaan berat yang tinggi dan muatan berlebihan dibawa kenderaan tersebut.
“Penyelenggaraan memang ada dibuat tetapi terhad kepada rutin biasa sahaja seperti tampalan jalan berlubang yang sememangnya tidak dapat bertahan lama dalam kondisi struktur turapan sedia ada yang rata-rata sudah melebihi jangka hayat.
“Malah, kerosakan jalan raya di daerah ini disebabkan struktur asas iaitu keadaan tanah yang ‘lemah’ di sebahagian besar kawasan dalam daerah tersebut,” katanya.
Katanya, beberapa kali permohonan peruntukan diajukan kepada pihak lebih tinggi untuk kelulusan. – UTUSAN ONLINE










