Buka hingga 2 pagi, 'makan-makan' Melaka kembali meriah - Utusan Malaysia

Buka hingga 2 pagi, ‘makan-makan’ Melaka kembali meriah

Keputusan mengumumkan darurat tidak menjejaskan aktiviti ekonomi negara- UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suasana ‘makan-makan’ di negeri ini terutama pada hujung minggu dijangka lebih meriah susulan keputusan kerajaan negeri melanjutkan waktu operasi perniagaan sehingga pukul 2 pagi.

Lanjutan selama dua jam dari pukul 12 tengah malam berkuat kuasa semalam berikutan Melaka kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selain kebenaran rentas negeri yang diberi kerajaan.

Kebenaran tersebut diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 Negeri Melaka yang diadakan semalam.

Pengusaha kedai ayam penyet, Shazzuan Shah Mohd. Saleh, 34, berkata, lanjutan waktu operasi itu menjadikan lokasi-lokasi tumpuan tempat makan kembali meriah seperti sebelum ini.

“Sebelum ini masa sangat terhad, pelanggan datang selepas waktu solat Isyak dan kami mengambil pesanan akhir pada pukul 11.30 malam sahaja.

“Dengan lanjutan masa ini, orang ramai terutama pengunjung yang datang ke Melaka berpeluang mencari makanan di negeri ini sehingga lewat malam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, pengusaha kedai Asam Pedas Nek Jarah, Mohd. Syafiq Mohd. Hiddir, 36, berkata, lanjutan waktu operasi itu sudah pasti dapat membantu ramai peniaga membina semula kewangan yang stabil dengan meraih lebih ramai pelanggan.

“Sepanjang negara bergelut dengan pandemik Covid-19, peniaga turut terjejas yang bukan sahaja disebabkan permintaan pelanggan yang turun mendadak tetapi masa beroperasi yang terhad.

“Saya memuji keputusan diambil kerajaan Melaka yang membenarkan para peniaga menjalankan perniagaan sehingga pukul 2 pagi, sekali gus memberi kami peluang menerima lebih ramai pelanggan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan kebenaran had operasi perniagaan bagi kedai makan, kedai serbaneka, kedai runcit dan pasar raya yang dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) negeri, Datuk Salhah Salleh menerusi satu kenyataan dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri berkata, had jumlah pelanggan bagi setiap meja di kedai makan mengikut kapasiti yang disediakan.

Selain itu, ujar beliau prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal serta perkara-perkara lain yang ditetapkan dalam tempoh PKPP kekal dikuatkuasakan seperti biasa.

“Arahan ini berkuat kuasa serta-merta sehingga kerajaan menarik semula arahan PKPP. Sebarang perubahan berkaitan arahan-arahan ini dimaklumkan dari semasa ke semasa tertakluk kepada keputusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN